EKONOMI

MALAYSIA DI LANDASAN RAIH BAHAGIAN PENTING PASARAN DIGITAL GLOBAL - GOBIND

09/10/2024 10:14 PM

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) — Malaysia kini di landasan tepat bagi menguasai bahagian penting dalam pasaran digital global, seiring jangkaan ekonomi digital negara menyumbang 25.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang akhir tahun depan.

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata sebagaimana unjuran syarikat penyelidikan, Forrester, ekonomi digital global bakal mencecah US$16.5 trilion (US$1=RM4.280) menjelang 2028. 

“Kita mencatat 23.5 peratus daripada KDNK tahun lepas dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata kita mesti berusaha untuk mencapai 25.5 peratus.

“Daripada apa yang kita lihat dalam tempoh lapan bulan lepas, saya yakin kita bukan setakat mampu mencapai sasaran itu tetapi turut melepasi sasaran ditetapkan,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam tahunan Majlis Perniagaan Malaysia-India (MIBC) di sini, hari ini. 

Gobind berkata sentimen optimis itu didorong daripada kejayaan negara memperoleh beberapa pelaburan daripada syarikat gergasi teknologi termasuk Amazon Web Services (AWS), Intel, Google, ByteDance, Nvidia, Meta dan Oracle.

“Syarikat-syarikat ini dan firma lain melabur berbilion-bilion dolar Amerika Syarikat (AS) untuk memulakan atau mengembangkan lagi perniagaan mereka di sini, terutama membabitkan pusat data dan industri semikonduktor.

“Kalangan pelabur antarabangsa percaya dan ada keyakinan terhadap Malaysia kerana dasar yang mesra perniagaan, kerajaan stabil, infrastruktur yang baik serta lokasi strategik," katanya.

Bagi melonjakkan lagi ekonomi digital Malaysia dan kesan limpahannya, kementerian turut memberi tumpuan kepada tiga tonggak utama -- membantu pembangunan infrastruktur, mewujudkan daya tahan digital serta membangunkan bakat.

Namun, Gobind menegaskan usaha itu tidak terletak di bahu kerajaan semata-mata.

“Atas alasan ini, India yang juga gergasi dalam sektor teknologi, adalah antara rakan paling tepat untuk membantu kita dalam misi berkaitan.

“Kerajaan kedua-dua negara bertukar lapan memorandum persefahaman (MoU) untuk mengukuhkan hubungan kerja pelbagai bidang, termasuk teknologi digital," katanya. 

Selain itu, Gobind juga menyifatkan MIBC dalam kedudukan tepat untuk membantu dan memudahcara mana-mana organisasi yang mahu bekerjasama dengan syarikat India atau yang berpangkalan di negara itu.

Kerjasama sedemikian, menjadi teras dalam membolehkan syarikat Malaysia mendapat akses ke atas pasaran besar di India.

Pada masa sama, Gobind berkata Malaysia juga boleh menjadi pintu masuk India ke rantau Asia Tenggara, terutama sejajar dengan kedudukan Malaysia yang bakal menyandang kepengerusian ASEAN pada tahun depan.

-- BERNAMA 

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan