DUNIA

PROGRAM TERPILIH CMG SEMPENA RAI ULANG TAHUN KE-75 PRC DITAYANG DI LUAR NEGARA

10/10/2024 01:57 PM

BEIJING, 10 Okt (Bernama-CMG) -- Sempena meraikan ulang tahun ke-75 penubuhan Republik Rakyat China (PRC), Kumpulan Media China (CMG) melancarkan penyiaran program terpilih di luar negara pada Rabu.

Lebih 40 program berkualiti tinggi antaranya termasuk dokumentari, kartun dan rancangan khas akan ditayangkan, memaparkan pencapaian pembangunan China sepanjang 75 tahun, memperkenalkan modenisasi ala China dari pelbagai dimensi dan menonjolkan pesona budaya tradisional serta kecanggihan tamadun moden negara Tembok Besar itu kepada penonton global.

Program itu akan disiarkan melalui kira-kira 30 saluran media perdana di Amerika Syarikat (AS), Malaysia, Perancis, Sepanyol, India, negara Afrika, Amerika Latin dan Arab, serta platform Internet pendidikan bahasa Mandarin antarabangsa terbesar iaitu https://www.chineseplus.net/.

Penyiaran program dalam pelbagai bahasa pengantar seperti Mandarin, Indonesia, Inggeris, Sepanyol, Perancis, Arab, Rusia dan Portugal diunjur meliputi lebih 300 juta penonton seluruh dunia.

-- BERNAMA-CMG

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan