AM

39 SYARIKAT BELUM PENUHI SASARAN 30 PERATUS PENGLIBATAN WANITA DALAM LEMBAGA PENGARAH

19/10/2024 02:15 AM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Sebanyak 39 syarikat dalam 100 syarikat teratas yang tersenarai di Bursa Malaysia masih belum memenuhi sasaran 30 peratus penglibatan wanita dalam jawatan lembaga pengarah.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata secara purata wanita memegang jawatan berkenaan di 100 syarikat teratas yang tersenarai di Bursa Malaysia adalah pada kadar 32.2 peratus, setakat 10 Oktober ini.

“Kerajaan menyeru, mendesak, menuntut penjelasan mengapa sasaran ini tidak dicapai syarikat-syarikat berkenaan dan diberi tempoh setahun lagi untuk menimbangkan kenaikan penyertaan wanita dalam lembaga pengarah,” kata beliau ketika membentangkan Belanjawan 2025, di Dewan Rakyat, hari ini.

Kerajaan juga menyeru agar sasaran tersebut dicapai semua syarikat sebelum akhir 2027. 

Anwar berkata, kerajaan akan terus menggalakkan wanita kembali bekerja termasuk bercadang memberikan potongan cukai tambahan sebanyak 50 peratus bagi penggajian yang dibayar untuk tempoh 12 bulan kepada majikan yang menggaji wanita kembali bekerja. 

Selain itu, beliau berkata Program Perantisan Kepimpinan Wanita (PERANTIS) diperhebat di bawah Kementerian Wanita sebagai usaha melahirkan lebih ramai tokoh korporat dalam kalangan wanita.

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut memaklumkan Program Returnship akan diperintiskan bagi menggalakkan wanita kembali bekerja dalam sektor kewangan.

“Program anjuran Bank Negara Malaysia (BNM)  dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) ini akan menyediakan kemudahan latihan dan kemudian menghubungkan dengan bakal majikan yang bersesuaian untuk kembali bekerja,” kata beliau. 

Selain itu, sejumlah RM470 juta dana pembiayaan disediakan oleh SME Bank, Bank Simpanan Nasional (BSN), Bank Rakyat dan Majlis Amanah Rakyat (MARA)  dalam menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) wanita mendapatkan modal kerja, membeli aset dan seterusnya meningkatkan kapasiti perniagaan ke tahap lebih tinggi.

--BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan