AM

BELANJAWAN 2025: DANA TVET MENINGKAT KEPADA RM7.5 BILION

19/10/2024 02:21 AM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peningkatan peruntukan bagi bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada RM7.5 bilion berbanding RM6.8 bilion sebelum ini.

Anwar berkata keutamaan diberikan untuk meningkatkan kerjasama dengan industri, menyediakan peluang latihan untuk belia rentan termasuk kelompok miskin bandar, terpinggir, pedalaman dan Orang Asli.

Selain itu, beliau berkata peluang pendidikan dan latihan TVET akan dipertingkatkan menerusi peruntukan keseluruhan RM1.2 bilion kepada kolej vokasional dan sekolah menengah teknik yang menyediakan pendidikan kepada 77,000 pelajar.

“PTPK (Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran) menyediakan pembiayaan sehingga RM500 juta untuk manfaat lebih 20,000 pelatih termasuk RM100 juta khusus untuk bidang keutamaan New Industrial Master Plan (NIMP) seperti MRO (penyelenggaraan, pembaikan dan pengubahsuaian), EV (kenderaan elektrik), aeroangkasa dan AI (kecerdasan buatan),” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, Perdana Menteri turut mengumumkan bahawa HRDCorp akan memanfaatkan dana RM3 bilion untuk menawarkan tiga juta peluang latihan.

“Khazanah Nasional Berhad menyediakan RM200 juta melalui Program Pembangunan Belia Khazanah (K-Youth) bagi membekalkan 11,000 bakat tempatan kepada sektor utama seperti semikonduktor.

“GiatMARA dan kolej komuniti disediakan RM55 juta untuk mengupayakan 10,000 anak-anak huffaz dari institusi tahfiz dan pondok dengan latihan kemahiran dalam tempoh lima tahun. GiatMARA juga akan menyediakan latihan jangka pendek kepada lebih 3,000 pekerja gig,” katanya.

Selain itu, Anwar berkata kerajaan mencadangkan potongan dua kali ke atas perbelanjaan syarikat yang melaksanakan Program Latihan Berstruktur (MySIP) di bawah Talent Corp turut diperluas kepada pelajar yang mengikuti latihan berstruktur oleh badan kawal selia industri dan dilanjutkan hingga tahun taksiran 2030. 

Sementara itu, beliau berkata Pertubuhan Keselamatan Sosial  (Perkeso) akan membina sebuah Pusat Rehabilitasi yang serba canggih di Terengganu dengan kos hampir RM600 juta.

-- BERNAMA 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan