AM

KERJASAMA STRATEGIK ASEAN-EU DITINGKATKAN SEMASA KEPENGERUSIAN MALAYSIA - ANWAR

10/10/2024 06:31 PM

Oleh Rosmalis Anuar

VIENTIANE, 10 Okt (Bernama) -- Kerjasama strategik ASEAN dan Kesatuan Eropah (EU) akan ditingkatkan semasa Malaysia mempengerusikan blok serantau itu tahun hadapan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kesepakatan itu dicapai semasa pertemuan dua hala beliau dengan Presiden Majlis EU Charles Michel dan delegasinya di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, di sini hari ini.

Anwar juga menyatakan hasrat Malaysia untuk meneruskan perbincangan berkaitan perjanjian perdagangan bebas (FTA) Malaysia-EU.

"... selain menyatakan beberapa pandangan berhubung Peraturan Bebas Penebangan Hutan EU (EUDR) yang memberi kesan langsung kepada industri sawit negara," katanya dalam kenyataan selepas pertemuan itu.

Perdana Menteri berkata beliau memanfaatkan pertemuan tersebut untuk memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan EU, selain bertukar-tukar pandangan berhubung perkembangan geopolitik serantau dan antarabangsa.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 dan Sidang Kemuncak Berkaitan berlangsung secara rasmi semalam hingga esok.

Laos sebagai Pengerusi ASEAN 2024 akan menyerahkan jawatan pengerusi itu kepada Malaysia yang akan menjadi Pengerusi ASEAN bagi 2025. Malaysia secara rasmi akan memegang jawatan itu pada 1 Jan 2025.

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan