DUNIA

PELANCARAN IPHONE 16 DI INDONESIA DITUNDA KERANA ISU PENSIJILAN, PELABURAN

11/10/2024 12:28 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 11 Okt (Bernama) -- Apple melancarkan iPhone 16 secara global pada 10 September, namun pemasarannya secara rasmi di Indonesia telah ditangguhkan kerana menunggu kelulusan permit daripada Kementerian Perindustrian.

Kelewatan itu terutamanya dikaitkan dengan tamatnya pensijilan Tahap Komponen Domestik (TKDN) milik Apple yang perlu diperbaharui, serta kekurangan dalam pelaburan yang dijanjikan berjumlah 1.71 trilion rupiah (kira-kira US$109.5 juta).

“Apple sebelum ini memegang pensijilan ini, tetapi ia telah tamat tempoh,” kata Menteri Perindustrian Agus Gumiwang Kartasasmita seperti yang dipetik oleh saluran berita tempatan, Kontan TV.

Beliau menyatakan bahawa kementerian juga sedang menunggu gergasi teknologi itu untuk memenuhi janji pelaburannya.

Setakat ini, hanya 1.48 trilion rupiah telah direalisasikan masih kekurangan kira-kira 240 bilion rupiah, kata Agus sambil berharap syarikat itu akan memenuhi komitmen pelaburannya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan