JENAYAH & MAHKAMAH

SUAMI ISTERI DIDAKWA TAWAR SKIM PELABURAN TIDAK BERDAFTAR

11/10/2024 12:52 PM

BUTTERWORTH, 11 Okt (Bernama) -- Pasangan suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menawarkan skim pelaburan tanaman halia yang tidak berdaftar pada 2021.

Jessie Tang, 56 dan Tan Eng Heong, 54, yang ketika itu pengarah Asiana Bestari Sdn Bhd didakwa menerusi syarikat itu telah menawarkan kepada dua beradik untuk menjadi peserta dalam skim pelaburan tanaman halia iaitu Ginger Contract Farming yang tidak berdaftar di bawah Akta Skim Kepentingan 2016 (Akta 778).

Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di Jalan Bukit Dua, Bukit Mertajam dekat sini pada 6 Okt 2021 mengikut Seksyen 3(2)(a) Akta Skim Kepentingan 2016 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 3(3) akta sama yang memperuntukkan penjara 10 tahun atau denda RM50 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hakim Noor Aini Yusof bersetuju tiada jaminan ditawarkan kerana mereka telah membayar jaminan RM50,000 setiap seorang bagi kes yang sama di Mahkamah Sesyen George Town semalam.

Mahkamah juga memindahkan kes ke Mahkamah Sesyen George Town untuk dibicarakan bersama dan menetapkan 12 Nov bagi sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Faizal Mahdi Mahmud, Mohd Zulkhairi Kamaruzaman dan Nurul Husna Mohd Yusof manakala pasangan itu diwakili peguam Mohd Haizq Razali dan Aiman Abdul Rahman.

Semalam, Mahkamah Sesyen George Town membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM50,000 setiap seorang bagi pertuduhan sama iaitu menawarkan skim pelaburan tanaman halia yang tidak berdaftar kepada dua individu di Gelugor, dekat sini pada 9 Dis 2020 dan 6 April 2022.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan