BERITA TERGEMPAR   The future of ASEAN must include Timor-Leste, whose inclusion will expand the region's economy and contribute to fulfilling our grand vision - PM Anwar | Laos secara rasmi serah kepengerusian ASEAN kepada Malaysia | 
 AM

KKR AKAN MOHON PERUNTUKAN RM20 JUTA BINA R&R DI LTU - AHMAD MASLAN

11/10/2024 01:32 PM

IPOH, 11 Okt (Bernama) -- Kementerian Kerja Raya (KKR) akan memohon peruntukan RM20 juta untuk membina hentian Rehat dan Rawat (R&R) di Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU), dalam masa terdekat kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata peruntukan tersebut adalah bagi membina R&R di kiri dan kanan di lokasi sesuai yang telah dikenal pasti.

“Ia akan mengandungi pembinaan beberapa buah kedai, tandas, tempat solat, kerana ia merupakan keperluan mendesak rakyat dan kepimpinan kerajaan negeri Pahang,” katanya selepas lawatan kerja ke Projek Pembaikan Cerun dan Membaik Pulih Jalan di Laluan FT185 Seksyen 44.10, Jalan Simpan Pulai-Blue Valley, Daerah Kinta di sini hari ini.

Terdahulu Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan Kerajaan Persekutuan melalui KKR dan Kementerian Ekonomi, mempertimbangkan semula pembinaan hentian R&R di LTU.

Baginda bertitah keperluan R&R di lebuh raya berkenaan penting untuk memberi kemudahan dan keselesaan kepada pengguna, sekali gus mengelak masalah pembuangan sampah serta kekotoran di pinggir jalan akibat ketiadaan kemudahan tandas.

Ahmad Maslan berkata satu tapak telah diputuskan untuk dibina R&R tersebut dan beliau berkeyakinan permohonan tersebut akan diluluskan. 

Beliau berkata sebelum ini, projek tersebut dibuka kepada pihak swasta namun tiada pihak berminat, mungkin kerana disifatkan tidak menguntungkan dan laluan tersebut hanya sesak pada musim perayaan tertentu sahaja.

Sebelum itu, Ahmad Maslan telah melancarkan penyediaan Garis Panduan Pemetaan dan Penilaian Cerun bersempena Mesyuarat Jawatankuasa Antara Agensi Kerajaan Bagi Pengurusan Cerun (ICSM) ke-18 di sebuah hotel di Cameron Highlands.

Garis panduan tersebut disediakan sebagai antara pelan tindakan yang ditetapkan di bawah teras strategik Pemetaan Bahaya dan Risiko (PBRC), iaitu antara kerangka teras strategik yang digariskan dalam Pelan Induk Cerun Negara (PICN) 2009-2023.

Sementara itu Ahmad Maslan berkata kabinet bersetuju agar PICN 2009-2023 dilanjutkan sehingga 2030.

-- BERNAMA 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan