BERITA TERGEMPAR   PM Anwar arrives in Jakarta to attend Indonesian presidential inauguration | 
 SUKAN

MABA CALONKAN CHOO HOCK DALAM DEWAN KEMASYHURAN BOLA KERANJANG FIBA

12/10/2024 09:19 PM

KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) -- Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) menyokong penuh cadangan agar legenda bola keranjang negara Datuk Yeoh Choo Hock disenaraikan dalam Dewan Kemasyhuran (Hall of Fame) Bola Keranjang Persekutuan Bola Keranjang Antarabangsa (FIBA).

Dalam kenyataan hari ini, MABA memaklumkan Presidennya Datuk Seri Lee Tian Hock telah menghantar permohonan rasmi kepada FIBA untuk atlet berusia 81 tahun itu.

Berdasarkan pencapaian besar dalam bola keranjang, Tian Hock yakin Choo Hock layak mendapat tempat di Dewan Kemasyhuran Bola Keranjang FIBA untuk terus memberi inspirasi kepada generasi akan datang supaya melibatkan diri dan membangunkan sukan berkenaan.

“Beliau bukan sahaja simbol bola keranjang Malaysia tetapi juga seorang pemimpin berwawasan yang telah memberikan sumbangan besar kepada bola keranjang antarabangsa.

“Disenaraikan dalam Dewan Kemasyhuran Bola Keranjang akan menjadi pengiktirafan tertinggi terhadap dedikasi Choo Hock dan penghormatan kepada legasinya yang luar biasa,” katanya.

Pencapaian cemerlang bekas setiausaha agung MABA itu termasuk mengetuai pasukan bola keranjang kebangsaan meraih pingat emas pada Sukan SEA 1989 di Kuala Lumpur dan mempromosikan bola keranjang antarabangsa dengan menganjurkan kejohanan utama seperti Kejohanan Dunia Bola Keranjang Wanita di Malaysia.

Sumbangan beliau kepada sukan berkenaan meluas ke seluruh dunia selepas berkhidmat sebagai Pesuruhjaya FIBA di empat Sukan Olimpik dan beberapa Kejohanan Dunia FIBA.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan