AM

REHLAH WATAN 2024 PLATFORM OKU BUKTIKAN KEMAMPUAN

13/10/2024 03:02 PM

PUTRAJAYA, 13 Okt (Bernama) -- Penyertaan peserta orang kurang upaya (OKU) dalam program Rehlah Watan 2024 membuktikan golongan itu tidak lemah sebaliknya mampu menamatkan persaingan dan mengharungi rintangan, kata Ketua Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Julina Johan. 

Beliau berkata program berkonsepkan perlumbaan dalam kumpulan atau explorace yang julung kali diadakan itu mengetengahkan aktiviti komunikasi bersemuka melibatkan 75 peserta yang dibahagikan kepada 15 kumpulan.

“Program ini dilaksanakan dengan objektif untuk meningkatkan kesedaran tentang Malaysia MADANI kepada komuniti OKU dan masyarakat awam melalui aktiviti kesukanan serta semangat patriotisme dalam memahami sejarah dan pembangunan negara.

“Pelbagai aktiviti menarik diadakan seperti larian ukhuwah (persaudaraan), Kahoot!, Q-Puzzle, kuiz dan sebagainya. Semua peserta perlu melalui semua aktiviti ini yang terdapat di enam checkpoint yang telah ditetapkan,” katanya dalam ucapan penutup program anjuran jabatan itu sempena Hari Sukan Negara.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengarah Kanan (Pengurusan) JaPen Naim Fahmi Ahmad Tajuddin.

Julina berkata kerajaan sentiasa komited untuk memastikan golongan OKU dapat membina kehidupan lebih baik dan menyumbang kepada negara dalam pelbagai aspek termasuk pendidikan, pembangunan kerjaya, kebolehcapaian dan hak kesamarataan berteraskan konsep Malaysia MADANI.

Sementara itu, Harman Halion yang mengetuai kumpulan Bonnie Bunyau yang dinobatkan sebagai kumpulan terbaik, menyifatkan program itu sebagai aktiviti kesukanan yang mampu memupuk semangat kerjasama dan persefahaman antara semua ahli.

“Semua kami atlet, jadi semangat persaingan sentiasa ada dalam jiwa untuk pastikan sentiasa di hadapan walaupun menggunakan kerusi roda. Tetapi persefahaman antara kami sentiasa ada untuk pastikan pasukan ini bergerak lancar,” kata bekas atlet bola tampar duduk berusia 47 tahun itu.

Bagi pemegang pingat emas acara individu TPB8 (kecacatan fizikal) pada Sukan Para Malaysia (Para SUKMA) 2024 baru-baru ini, Ahmad Nazri Hamzah, 34, semangat kesukanan sentiasa tersemat di hati bagi membolehkan kumpulan Bonnie Bunyau menjulang gelaran juara pada program itu.

“Semangat (kesukanan) kami zahirkan dalam program ini walaupun daripada bidang sukan berlainan tetapi matlamat tetap sama iaitu mahu menjadi juara dan kami dapat apa yang diimpikan,” katanya.

Ahmad Nazri turut menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Komunikasi dan JaPen kerana menganjurkan Rehlah Watan 2024 dan berharap program seumpama ini dilaksanakan lagi di masa hadapan.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan