AM

WARGA TUDM DIGESA PERTAHAN INTEGRITI, HINDARI SALAH LAKU - PANGLIMA

13/10/2024 05:20 PM

ALOR SETAR, 13 Okt (Bernama) -- Warga Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) digesa mempertahankan integriti serta tidak terlibat dalam salah laku seperti penyalahgunaan dadah, rasuah dan buli yang boleh menjejaskan imej TUDM.  

Panglimanya Jeneral Tan Sri Asghar Khan Goriman Khan berkata setiap pegawai dan anggota perlu mengekalkan profesionalisme dan mematuhi peraturan yang termaktub dalam Akta Angkatan Tentera 1972.

“Kami melatih pegawai, juruterbang dan anggota TUDM lain untuk mengendalikan pesawat bernilai berbilion ringgit dan kosnya sangat tinggi dengan teknologi canggih dan terkini.

“Jadi kami tidak mahu ada anggota yang gagal mencapai standard ditetapkan. Kita mesti mematuhi peraturan, mengekalkan disiplin, dan mengikuti semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Perbarisan dan Penyampaian Sayap Penerbangan Kursus Asas Penerbangan Siri 85/23 dan Kursus Asas Penerbangan Helikopter Siri 65/23 di Kolej Tentera Udara Diraja Malaysia dekat sini hari ini.

Asghar Khan berkata perjudian pada masa dahulu merupakan aktiviti fizikal namun sekarang ia boleh dicapai dalam talian dan diakses melalui komputer maka generasi muda sangat mudah terdedah dengan kegiatan tidak bermoral itu.

"Saya juga menekankan kepentingan menangani buli dan tingkah laku lain yang membimbangkan. Disiplin sangat penting dalam mana-mana angkatan tentera dan imej angkatan tentera mesti sentiasa dipelihara," katanya.

Seramai 29 graduan menerima sayap penerbangan masing-masing iaitu terdiri 23 pegawai TUDM, empat pegawai Tentera Darat Malaysia (TDM) dan dua pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Sementara itu, Asghar Khan turut memberikan jaminan Angkatan Tentera Malaysia melalui TUDM, sentiasa bersedia untuk menggerakkan kekuatannya jika diperlukan semasa banjir susulan peralihan Monsun Timur Laut (MTL).

Beliau berkata pihaknya telah mengenal pasti lokasi-lokasi sesuai yang akan dijadikan tempat pendaratan helikopter semasa memberikan bantuan kemanusiaan dan kecemasan kepada mangsa terjejas.

“Untuk operasi banjir ini, ATM sudah aktifkan Op Murni, walaupun kami bukan agensi utama tetapi bersedia dan semua lokasi tanah tinggi  untuk membolehkan helikopter mendarat dan beri bantuan di semua kawasan banjir telah dikenal pasti,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan