AM

MELAKA JADI TUAN RUMAH MESYUARAT MENTERI-MENTERI KEBUDAYAAN DAN KESENIAN ASEAN MINGGU DEPAN

14/10/2024 09:02 PM

MELAKA, 14 Okt (Bernama) -- Melaka buat julung kalinya dipilih menjadi tuan rumah bagi Mesyuarat Menteri-Menteri Kebudayaan dan Kesenian ASEAN (AMCA) ke-11 pada 21 hingga 26 Okt ini.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata kira-kira 400 orang termasuk delegasi luar negara dan Malaysia akan berkampung selama enam hari di negeri itu.

"Program anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) ini juga akan melibatkan  menteri, pegawai kanan kebudayaan dan kesenian dari negara ASEAN, rakan dialog dari Jepun, Korea Selatan dan China serta Setiausaha Agung dan Sekretariat ASEAN.

"Bersempena program itu juga diadakan Makan Malam Gala AMCA pada 24 Okt di Dataran Pengkalan Rama selain diserikan dengan acara ASEAN Festival of Arts (AFA) membabitkan 150 artis kebudayaan dari negara- negara anggota ASEAN," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena penganjuran International Cultural & Arts Festival @ Sungai Melaka (ICAF) 2024 yang turut dihadiri Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Zaidi Attan.

Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata ICAF 2024 merupakan gabungan penganjuran acara utama seperti Malam Gala AMCA dan AFA, Festival Sungai Melaka, Festival Seni Selat Melaka serta Festival Kesenian Rakyat Antarabangsa (CIOFF).

Beliau berkata Festival Seni Selat Melaka diselaraskan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka dan Persatuan Peranakan Baba Nyonya Malaysia dengan menyerlahkan keunikan seni budaya serta warisan di negeri-negeri dan rantau perairan Selat Melaka.

"Manakala Festival Sungai Melaka 2024 akan diadakan bersempena ICAF 2024 mulai 21 hingga 27 Okt 2024 juga di Dataran Pengkalan Rama.

"Selain itu, juga akan diadakan Festival Kesenian Rakyat Antarabangsa 2024 dengan  pengisian program adalah persembahan kebudayaan dengan penglibatan peserta dari Sabah, Sarawak dan Melaka serta beberapa negara luar seperti Uzbekistan, Filipina, Korea Selatan dan Thailand," katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan