AM

AMCA KE-11 PERKUKUH KERJASAMA KEBUDAYAAN, KESENIAN DALAM KALANGAN NEGARA ASEAN

14/10/2024 09:17 PM

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Mesyuarat Menteri-Menteri Kebudayaan dan Kesenian ASEAN (AMCA) ke-11 bakal memperkukuh lagi hubungan dan kerjasama kebudayaan serta kesenian dalam kalangan  anggota ASEAN termasuk negara rakan dialog.  

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Roslan Abdul Rahman berkata kerjasama itu merangkumi usaha pemeliharaan, pemuliharaan, promosi dan penghayatan kekayaan budaya, seni dan warisan rakyat ASEAN yang berbilang kaum, agama dan budaya

Bertemakan Bridging Cultures, Building Futures: Unity in Diversity, beliau berkata mesyuarat kali ini akan membincangkan bentuk kerjasama dan sumbangan negara ASEAN dalam melestarikan kebudayaan serta kesenian ke arah pembentukan Komuniti ASEAN yang mempunyai identiti kepelbagaian budaya.

“Turut akan dibincangkan pada mesyuarat berkenaan perkara berkaitan dasar untuk mengukuhkan persefahaman antara budaya yang menyentuh kepentingan serantau,” katanya ketika menjadi tetamu wawancara eksklusif di Bernama Radio mengenai mesyuarat berkenaan di sini hari ini. 

Beliau berkata seramai 10 menteri dan kira-kira 700 delegasi dari ASEAN dijangka menghadiri mesyuarat itu yang akan turut dihadiri tiga negara rakan dialog ASEAN iaitu China, Jepun dan Korea Selatan.

Melaka buat julung kali dipilih sebagai tuan rumah bagi AMCA ke-11 yang akan diadakan selama enam hari bermula 21 hingga 26 Okt.  

Turut akan diadakan sempena mesyuarat dwitahunan yang dipengerusikan secara bergilir-gilir dalam kalangan negara anggota ASEAN itu ialah Mesyuarat AMCA bersama rakan dialog (AMCA+3). 

Beliau berkata AMCA ke-11 itu akan didahului dengan mesyuarat peringkat Pegawai Kanan iaitu Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan ASEAN Bertanggungjawab kepada Kebudayaan dan Kesenian (SOMCA) Ke-20 dan Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan ASEAN+3 Bertanggungjawab kepada Kebudayaan dan Kesenian dengan rakan dialog (SOMCA+3) Ke-20.

“Mesyuarat SOMCA akan membincangkan hala tuju serta isu-isu penting mengenai kerjasama dalam pelbagai aspek kebudayaan, kesenian dan warisan sebelum dikemukakan ke Mesyuarat AMCA Ke-11 untuk pertimbangan dan pengesahan,” katanya. 

Sementara itu, beliau berkata sempena penganjuran AMCA itu satu Festival Kesenian ASEAN (AFA) akan diadakan pada 24 Okt bagi memberikan peluang kepada negara anggota ASEAN memperkenalkan kekayaan serta keaslian seni budaya masing-masing melalui persembahan kebudayaan dan kesenian.

"Seramai kira-kira 1,000 delegasi daripada kumpulan kebudayaan dan kesenian 10 negara ASEAN, rakan dialog dan Timor Leste bakal hadir untuk menjayakan festival ini,” katanya. 

Mengulas mengenai pemilihan Melaka sebagai tuan rumah mesyuarat itu, Roslan berkata ia strategi serampang dua mata dalam mempromosi sektor pelancongan di Melaka bersesuaian dengan Tahun Melawat Melaka 2024.

Beliau berkata kerjasama dengan pihak kerajaan negeri itu memberikan peluang untuk memperkenalkan, mempromosi dan memasarkan produk pelancongan serta kebudayaan Melaka yang dinamik dan Malaysia amnya ke pasaran antarabangsa.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan