EKONOMI

MALAYSIA TONJOL KEMAMPUAN EKONOMI DIGITAL PADA ENS 2024 DI DUBAI

15/10/2024 11:36 AM

Daripada Nurunnasihah Ahmad Rashid

DUBAI, 15 Okt (Bernama) -- Malaysia memberi impak ketara pada acara Expand North Star 2024 (ENS 2024) dari segi kemampuan ekonomi digitalnya di sini menerusi pavilion berkeluasan 120 kaki persegi yang menampilkan 15 syarikat teknologi tempatan.

 Diterajui oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), syarikat-syarikat yang mengetengahkan produk dan perkhidmatan masing-masing termasuk OmniNexus, Codon Genomics, ProximaX Malaysia, Wilstech, Vero AI yang menonjolkan infrastruktur digital serta keupayaan inovasi Malaysia yang serba maju.

Ketua Pemacu Industri Digital MDEC Wan Murdani Wan Mohamad berkata Pavilion Malaysia yang dilancarkan pada Ahad, turut menyediakan ruang mesyuarat khusus bagi perbincangan perniagaan dengan pelabur berpotensi, sekali gus dapat memudahcara potensi atau peluang yang boleh membawa nilai besar kepada Malaysia. 

Majlis perasmian Pavilion Malaysia itu telah disempurnakan oleh Konsul Jeneral Malaysia ke Dubai Mohd Fadly Amri Aliaman dan Pesuruhjaya Perdagangan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Emiriah Arab Bersatu (UAE) Megat Iskandar Ahmad Dassilah.

Bersempena dengan penganjuran ENS 2024, MDEC turut menjadi hos bagi acara makan malam yang meraikan lebih 100 profesional serta pemimpin industri.

 Antara hadirin ialah Duta Besar Malaysia ke UAE Tengku Datuk Sirajuzzaman Tengku Mohamed Ariffin dan pemimpin kanan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, Tourism Dubai dan Majlis Perniagaan Malaysia-UAE.

Wan Murdani menekankan kepentingan acara itu dalam memupuk kerjasama antara syarikat teknologi Malaysia dan persekitaran perniagaan Dubai serta penglibatan berterusan dengan agensi seperti MATRADE dan Kedutaan Malaysia dalam usaha mendapatkan peluang perniagaan serantau. 

Jelasnya, walaupun wujud cabaran dalam bentuk jarak fizikal dan kos, beliau yakin kerjasama tempatan yang kukuh dapat menangani isu berkenaan.

ENS 2024 yang berlangsung pada 13-16 Oktober, merupakan platform yang menghimpunkan kalangan syarikat pemula niaga dan pelabur selain menjadi sebahagian daripada Pameran Teknologi Maklumat Teluk (GITEX) Global 2024, acara teknologi terbesar dunia yang diadakan pada 14-17 Okt, 2024.

Menerusi penglibatan lebih 6,500 syarikat pameran, 1,800 syarikat pemula niaga dan 1,200 pelabur dari lebih 180 negara, ENS 2024 dan GITEX Global 2024 dilihat sebagai platform melonjakkan teknologi berasaskan kecerdasan buatan (AI).

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan