DUNIA

INDEKS PETUNJUK UTAMA FBM KLCI KEKAL MENINGKAT PADA TENGAH HARI

15/10/2024 01:57 PM

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Momentum peningkatan indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) terus bertahan pada dagangan tengah hari Selasa, didorong oleh minat belian ketara terhadap saham-saham wajaran tinggi terpilih, kata penganalisis.

Pada 12.30 tengah hari, indeks berkenaan menokok 2.49 mata atau 0.15 peratus kepada 1,639.03 daripada paras 1,636.54 di akhir dagangan semalam.

FBM KLCI yang dibuka menokok 2.02 mata kepada 1,638.56, juga bergerak dalam julat 1,636.89 dan 1,640.42 sepanjang sesi dagangan pagi ini.

Pasaran secara meluas bagaimanapun kekal negatif dengan 530 kaunter rugi berbanding 327 kaunter untung manakala 445 lain kekal tidak berubah, sebanyak 1,175 tidak diniagakan dan sembilan lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 1.38 bilion unit bernilai RM1.09 bilion.

Sementara itu, Maybank Investment Bank Bhd menerusi nota penyelidikannya berkata pelabur kini memberi tumpuan terhadap perincian Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan pada Jumaat ini, selain pengumuman pelaporan pendapatan korporat utama Amerika Syarikat (AS) yang dijadualkan pada minggu ini.

“Secara teknikalnya, kami menjangkakan indeks petunjuk utama bursa menyaksikan dagangan dalam julat 1,625 hingga 1,645 pada hari ini dengan paras sokongan pada paras 1,623 hingga 1,596,” kata bank pelaburan itu.

Bagi saham wajaran tinggi, Maxis naik 7.0 sen kepada RM3.73, Nestle meraih RM1.50 kepada RM104.00, Public Bank menokok 50 sen kepada RM4.44, Maybank meningkat 10 sen kepada RM10.64 dan Sunway menambah 4.0 sen kepada RM4.39. 

Kaunter aktif menyaksikan syarikat yang mula disenaraikan di Pasaran ACE, Northeast Group meraih 3.5 sen kepada 53.5 sen, Focus Dynamics menokok setengah sen kepada 2.5 sen, Mpire Global naik 2.0 sen kepada 14.0 sen, Bina Puri sebaliknya tidak berubah pada 35.5 sen manakala Perdana Petroleum susut 2.0 sen kepada 28 sen. 

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas menokok 5.68 mata kepada 12,295.64 dan Indeks FBMT 100 menambah 8.78 mata kepada 11,998.50.

Bagaimanapun, Indeks FBM Emas Shariah susut 3.08 mata kepada 12,198.82, Indeks FBM 70 turun 22.17 mata kepada 17,547.15 dan Indeks FBM ACE menguncup 18.15 mata kepada 5,070.96.

Bagi prestasi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 107.81 mata kepada 19,366.97, Indeks Perladangan meraih 6.21 mata kepada 7,222.89 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.26 mata kepada 175.49 manakala Indeks Tenaga meningkat 18.47 mata kepada 859.60.

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan