AM

BERITA-BERITA RINGKAS DEWAN RAKYAT: 15 OKT

15/10/2024 02:32 PM

PINDAAN AKTA 317 BAGI KEKANG AKTIVITI PENANGKAPAN IKAN BERLEBIHAN

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dalam proses meminda Akta Perikanan 1985 (Akta 317) antaranya untuk meningkatkan kadar hukuman sebagai langkah mencegah pencerobohan vesel yang menangkap ikan tempatan secara haram.

Menteri berkenaan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata pindaan itu juga sebagai sebahagian daripada langkah KPKM bagi mengekang aktiviti penangkapan ikan secara berlebihan.

“Bagi memastikan peralatan tangkapan yang digunakan tidak menjejaskan ekosistem perikanan, DOF telah menyenaraikan bubu naga sebagai peralatan larangan dalam Peraturan-Peraturan Perikanan (Larangan Cara Menangkap Ikan) 1980 serta Peraturan-Peraturan Perikanan (Pengawalan Spesies Ikan Terancam) 1999 berkuat kuasa 1 Mei 2024,” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Doris Sophia Brodi (GPS-Sri Aman) yang ingin tahu bagaimana kementerian memastikan penangkapan ikan air laut di perairan secara berlebihan dikawal, terutama di kawasan perairan yang terancam akibat aktiviti itu pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

-- BERNAMA

 

KKR BELANJA HAMPIR RM18 JUTA LAKSANA KERJA PENCEGAHAN CERUN RUNTUH 

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Kementerian Kerja Raya (KKR) membelanjakan hampir RM18 juta bagi melaksanakan lapan kerja pencegahan cerun runtuh tahun ini, kata Timbalan Menteri berkenaan Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata 147 kerja pembaikan dengan kos RM158.8 juta turut dilaksanakan tahun ini.

“KKR bersama Cawangan Kejuruteraan Cerun (CKC), Jabatan Kerja Raya (JKR) telah membuat persediaan menghadapi bencana dengan mengenal pasti cerun yang berpotensi runtuh melalui Peta Bahaya dan Risiko Cerun bersama dengan Sistem Amaran Awal Tanah Runtuh (EWS),” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) mengenai sama ada kerajaan bercadang melaksanakan reformasi dasar cerun negara yang baharu dan lebih proaktif sebagai usaha mengurangkan kejadian seperti tanah runtuh pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

-- BERNAMA

 

1,892 MAJIKAN BUKA AKAUN, 776 MOHON SERTAI PROJEK RINTIS DDGP

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Sebanyak 1,892 majikan telah membuka akaun manakala 776 majikan sudah memohon untuk menyertai projek rintis Dasar Gaji Progresif (DGP) hingga 3 Okt lepas, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.

Beliau berkata bagi memastikan kemampanan DGP, penilaian projek rintis dibuat dengan mengambil kira perkara berkaitan dasar, ketersediaan sistem, buku panduan gaji dan panduan latihan serta perkara itu akan dibincangkan di peringkat Jawatankuasa Eksekutif DGP.

"Ia (penilaian) juga akan dibawa kepada pertimbangan Jemaah Menteri pada November ini bagi mendapatkan hala tuju pelaksanaan menyeluruh dasar ini," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Abdul Rahman menjawab soalan Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) mengenai kadar penyertaan syarikat dalam projek rintis DGP, selain strategi Kementerian Sumber Manusia bagi memastikan kemampanan DGP selepas tamatnya tempoh setahun projek rintis.

-- BERNAMA

 

MINDEF SEDANG MUKTAMAD PENGENALAN INISIATIF WBL 

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Kementerian Pertahanan (Mindef) sedang memuktamadkan pengenalan inisiatif Program Pembelajaran Berasaskan Kerja (WBL) bagi melengkapkan usaha dalam memastikan keupayaan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mendapat kerjaya kedua yang baik.

Menteri berkenaan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata program itu akan mula dilaksanakan tahun depan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan institusi pengajian tinggi (IPT).

“Melalui inisiatif WBL ini, kita akan membantu meningkatkan daya saing serta kebolehpasaran anggota dengan memastikan mereka meninggalkan perkhidmatan dan menjadi pesara yang mempunyai sekurang-kurangnya kelayakan diploma,” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) yang ingin tahu usaha kementerian setakat ini dalam menentukan veteran tentera mendapat kerjaya kedua setelah menamatkan perkhidmatan selama 21 tahun.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan