AM

PELAN TINDAKAN PEMULIHAN AHLI GISBH LIBATKAN PELBAGAI AGENSI

15/10/2024 03:57 PM

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Pelbagai agensi akan berganding bahu bagi melaksanakan pelan tindakan pemulihan ahli GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) daripada pelbagai aspek termasuk akidah, bantuan zakat dan semakan perkahwinan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata perkara itu, dipersetujui dalam Mesyuarat Ketua-Ketua Jabatan atau Majlis Agama Islam Negeri Seluruh Malaysia pada 1 Okt lepas.

Beliau berkata aspek pemulihan akidah akan diterajui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan penglibatan Majlis Agama Islam Negeri atau Jabatan Agama Islam Negeri dan agensi lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Akademi Kenegaraan Malaysia.

“Program ini akan dilaksanakan selama 90 hari (maksimum) atau satu tempoh masa yang bersesuaian mengikut situasi dan keadaan selepas penilaian dilaksanakan ke atas peserta sama ada secara individu, atau kelompok,” katanya pada sesi Penerangan Menteri mengenai isu GISBH di Dewan Rakyat hari ini.

Mohd Na'im berkata semakan perkahwinan pula akan diterajui Jabatan Agama Islam Negeri dengan penyelarasan JAKIM, JKM dan Jabatan Pendaftaran Negara.

“Bantuan Zakat dikendalikan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji yang akan menyelaras cadangan bantuan kelangsungan hidup ahli GISBH mengikuti pemulihan secara sukarela daripada pihak Majlis Agama Islam Negeri atau pusat zakat berkaitan di negeri-negeri,” katanya.

Beliau berkata pelan tindakan pemulihan berkenaan menggunakan modul pemulihan sedia ada daripada Majlis Agama Islam Selangor dan modul kepada kanak-kanak JKM berpandukan kepada silibus Sistem Pendidikan Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) dan Modul Pemerkasaan Rohani Bagi Kanak-Kanak Institusi JKM dengan beberapa penambahbaikan.

Mengenai penyediaan pusat pemulihan, Mohd Na'im memohon kerjasama Majlis Agama Islam Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri mencadangkan bilangan pusat, kapasiti dan lokasi di bawah seliaan masing-masing bagi tujuan penempatan pemulihan secara sukarela.

Dalam pada itu beliau memaklumkan empat negeri telah mengeluarkan fatwa berkaitan ajaran dalam GISBH sebagai sesat dengan Perlis menjadi negeri pertama berbuat demikian, diikuti Selangor, Pahang dan Melaka.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan