AM

EMPAT PASUKAN PERUBATAN DIGERAKKAN KE PPS DI JASIN RAWAT MANGSA BANJIR

16/10/2024 03:06 PM

MELAKA, 16 Okt (Bernama) -- Empat pasukan perubatan dari tiga klinik sekitar Jasin telah digerakkan ke pusat-pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka sejak Isnin lepas bagi memberi bantuan kesihatan kepada mangsa banjir.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata mereka terdiri daripada pegawai perubatan, penolong pegawai perubatan dan jururawat dari Klinik Kesihatan Merlimau, Jasin dan Sungai Rambai.

“Sehingga semalam 179 mangsa telah diberikan rawatan di PPS termasuklah konsultasi pesakit kronik seperti diabetes, darah tinggi dan asma. Bagaimanapun tiada kes yang dirujuk ke hospital, hanya membabitkan rawatan pesakit luar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas mengenai tahap kebersihan di PPS beliau berkata pemeriksaan sanitasi sentiasa dilaksanakan oleh pasukan kesihatan dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dari semasa ke semasa.  

“Secara keseluruhan tahap kebersihan di PPS adalah memuaskan, dan tiada wabak penyakit serta keracunan makanan dikesan sehingga pagi ini,” katanya.

Sementara itu Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Melaka memaklumkan sehingga 12 tengah hari tadi, 74 mangsa daripada 20 keluarga ditempatkan di lima PPS di Jasin sejak banjir melanda daerah berkenaan Isnin lepas.

Lima PPS yang dibuka adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dang Anum, Sekolah Kebangsaan (SK) Serkam Darat, SK Tedong, SMK Dato Abdul Rahman Ya'kob dan SK Seri Mendapat.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan