AM

SARAWAK ALU-ALUKAN BANTUAN SAINTIS DALAM PEMBENTUKAN DASAR - ABANG JOHARI

17/10/2024 12:16 AM

KUCHING, 16 Okt (Bernama) -- Sarawak sentiasa mengalu-alukan saintis yang ingin membantu kerajaan negeri untuk mengambil pendekatan baharu dalam menggubal dasar pemeliharaan alam sekitar yang dinikmati oleh rakyat selama ini.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kerajaan negeri kini memberi penekanan dalam mencari jalan untuk memanfaatkan kekuatan dimiliki terutamanya dalam mengurangkan kesan perubahan iklim.

Berucap pada majlis makan malam sempena Persidangan Antarabangsa Sains Tropika Kedua (TropSc) 2024 di sini malam ini, Abang Johari berkata selepas pandemik COVID-19, kerajaan negeri telah menetapkan dasar ekonomi berdasarkan tiga teras iaitu kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.

“Ketiga-tiga teras ini adalah asas kepada dasar yang dirangka oleh kerajaan negeri untuk membangunkan Sarawak,” katanya.

Menurutnya, tiga teras ini mendorong beliau untuk memperkenalkan dasar melibatkan pengurangan pelepasan karbon, menggalakkan bahan api mesra alam serta memberi penekanan terhadap pendidikan sains kepada rakyat negeri itu.

Abang Johari berharap persidangan selama dua hari itu dapat memberikan input yang akan memudahkan Sarawak untuk mencapai dasar kelestarian alam sekitar serta mencari penyelesaian bagi menangani isu-isu persekitaran global semasa.

“Saya berharap persidangan ini akan memberikan kami gambaran tentang apa perlu dilakukan dan bagaimana untuk meneroka aset di kawasan tropika supaya anda dapat menyumbang bagi mengurangkan isu dihadapi dunia hari ini,” katanya.

TropSc 2024 yang bermula hari ini adalah anjuran bersama Akademi Sains Malaysia (ASM) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dengan sokongan kerajaan negeri, adalah respons terhadap isu kritikal di kawasan tropika seperti perubahan iklim, kemerosotan biodiversiti, penebangan hutan dan kehilangan habitat.

Isu-isu ini dibincangkan bersama ahli panel tempatan dan antarabangsa, mengikut empat landasan iaitu pertanian tropika, seni bina dan kejuruteraan tropika, perubatan tropika dan sumber semua jadi tropika.

Kira-kira 300 peserta daripada 20 negara menghadiri persidangan itu termasuk United Kingdom, Singapura, Thailand, Australia, Colombia, Mexico, Brazil dan Timor Leste.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan