AM

PENDIDIKAN KELESTARIAN GALAK SUKARELAWAN, PENGLIBATAN SIVIK BELIA - MENTERI SARAWAK

16/10/2024 03:22 PM

KUCHING, 16 Okt (Bernama) -- Pendidikan kelestarian perlu diutamakan dalam institusi pendidikan untuk menggalakkan kesukarelawanan dan penglibatan sivik dalam kalangan belia supaya mereka dapat memupuk rasa tanggungjawab terhadap komuniti mereka.

Menteri Pembangunan Belia, Sukan dan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata mengukuhkan kepimpinan belia akan mewujudkan platform bagi pemimpin muda untuk terlibat dalam perbincangan berhubung dasar mengenai pembangunan lestari.

"Belia ialah tulang belakang masa depan kita. Dengan mewujudkan platform di mana mereka boleh melibatkan diri dalam perbincangan mengenai dasar yang bermakna dan mengintegrasikan kelestarian ke dalam sistem pendidikan, kita memperkasakan mereka untuk menjadi agen perubahan masa depan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Dialog Dasar mengenai Pembangunan Lestari di Tropika, antara sesi Persidangan Antarabangsa Sains Tropika (TropSc) 2024 di sini.

Persidangan itu anjuran bersama Akademi Sains Malaysia (ASM) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dengan sokongan kerajaan Sarawak.

Abdul Karim berkata belia perlu terus dibimbing dan disokong untuk memastikan mereka mempunyai sumber yang diperlukan untuk memimpin usaha ke arah masa depan yang lebih lestari dan adil.

Beliau berkata belia juga cakna dengan kemajuan teknologi terkini justeru dapat menyokong amalan lestari memandangkan mereka sudah biasa dengan alat digital yang membolehkan mereka memanfaatkan teknologi.

Turut menyertai sesi itu Bekas Presiden ASM Prof Emerita Datuk Dr Asma Ismail dan Pengarah Urusan Borneo Futures Prof Eric Meijaard.

TropSc 2024 yang berlangsung hari ini dan esok bertujuan menangani isu kritikal di kawasan tropika seperti perubahan iklim, penurunan biodiversiti, penebangan hutan dan kehilangan habitat.

Isu-isu tersebut dibincangkan dalam empat bahagian, iaitu pertanian tropika, seni bina dan kejuruteraan tropika, perubatan tropika dan sumber semula jadi tropika dengan penglibatan panel tempatan dan antarabangsa.

Kira-kira 300 peserta dari 20 negara mengambil bahagian termasuk dari United Kingdom, Singapura, Thailand, Australia, Colombia, Mexico, Brazil dan Timor Leste.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijadualkan merasmikan persidangan malam ini. 

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan