AM

FAMA PERLIS PERLUAS JUALAN AGRO MADANI DI KAWASAN BERDEKATAN SEMPADAN MALAYSIA-THAILAND

16/10/2024 09:52 PM

KANGAR, 16 Okt (Bernama) -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perlis memperluaskan penganjuran Jualan Agro MADANI di kawasan berdekatan sempadan Malaysia-Thailand dekat Padang Besar bagi menyambut saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada pihak FAMA di negeri-negeri bersempadan Thailand.

Pengarah FAMA Perlis Mohd Anzara Azizan berkata untuk itu, pihaknya menganjurkan Jualan Agro MADANI di dua lokasi dekat Padang Besar iaitu di Masjid Salahuddin Al-Ayubi pada hari ini manakala Masjid Nurul Husna Wang Kelian pada 19 Okt nanti.

“Saranan Perdana Menteri agar aktiviti ekonomi seperti pasar tani dan Jualan Agro MADANI dilaksanakan di kawasan berdekatan sempadan Malaysia-Thailand adalah berikutan kadar tukaran mata wang Ringgit Malaysia (RM) semakin mengukuh berbanding Bath Thailand.

“Bagi menyahut saranan Perdana Menteri itu, FAMA Negeri Perlis memperluaskan lagi Jualan Agro MADANI yang memfokuskan kawasan sempadan Malaysia-Thailand melibatkan Padang Besar ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Mohd Anzara berkata Jualan Agro MADANI di Perlis merekodkan nilai jualan sebanyak RM2,926,297.70 daripada pelaksanaan 217 kali aktiviti berkenaan di negeri itu bagi tempoh Januari hingga hari ini.

 “Ia melibatkan 1,667 orang usahawan dan dianggarkan 62,600 orang rakyat negeri Perlis menerima manfaat dari pelaksanaan Jualan Agro MADANI ini. Nilai penjimatan dicatatkan dalam pelaksanaan Jualan Agro MADANI itu ialah RM716,994.06,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan