AM

PETRONAS BEDIGITAL BOOTCAMP WILAYAH UTARA MANTAPKAN KEMAHIRAN DALAM BIDANG DIGITAL, KOMUNIKASI

17/10/2024 10:59 AM

BUKIT MERTAJAM, 17 Okt (Bernama) -- PETRONAS BeDigital Bootcamp dianjurkan buat julung kalinya di wilayah utara baru-baru ini, destinasi kelima dan terakhir program itu bagi tahun 2024.

Program itu merupakan usaha berterusan PETRONAS dalam meningkatkan kecemerlangan modal insan dalam bidang digital dan komunikasi, serta memastikan kebolehpasaran dalam dunia pekerjaan.

Menurut PETRONAS modul yang diterapkan menerusi Bootcamp itu turut memfokuskan kepada kemahiran digital yang mendapat permintaan tinggi di pasaran seperti kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber serta kemahiran penyampaian peserta melalui pengalaman pembentangan atau ‘shark tank pitch’. 

Kohort ke-10 BeDigital Bootcamp ini disertai 98 pelajar dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang, Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Teknologi PETRONAS (UTP).

Seorang peserta Muhammad Azri Abdul Lateb, 25, berkata program 12 hari yang dijalankan oleh PETRONAS ini bukan sahaja dapat melengkapkan dirinya dengan pelbagai ilmu, ia juga telah meningkatkan keyakinan diri sendiri.

Beliau yang juga merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berkata, program tersebut dapat membantu dirinya untuk meningkatkan kemahiran komunikasi dan AI, yang diyakini dapat mempersiapkan dirinya kelak ketika berada di alam pekerjaan.

"Kami juga diajar sama ada secara langsung atau tidak langsung untuk berfikir secara kritikal, bekerja dalam satu pasukan dan cara menyelesaikan masalah bersama-sama serta pelbagai lagi kemahiran yang tidak diajar ketika berada di universiti," katanya kepada pemberita ketika ditemui di UiTM Cawangan Pulau Pinang, Permatang Pauh.

Seorang lagi peserta Shabiella Sabri, 22, graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan Universiti Teknologi PETRONAS berkata beliau langsung tidak menyangka program itu sebenarnya bertujuan untuk melengkapkan graduan tempatan supaya dapat memenuhi tuntutan era digital yang kompetitif di luar sana.

"Terima kasih kepada PETRONAS kerana memberi saya peluang mengikuti program itu kerana banyak yang saya belajar. Kami didedahkan dengan ilmu teknikal keselamatan sekuriti dan kemahiran melengkapkan diri, malah banyak juga kemahiran baharu yang saya serta peserta lain belajar sepanjang mengikutinya.

"Sejujurnya saya gembira dan teruja mengikuti program itu kerana boleh dikatakan 100 peratus ilmu dan kemahiran yang diajar adalah baharu, jadi jika pelajar ditawarkan mengikuti PETRONAS BeDigital Bootcamp ini, nasihat saya - jangan lepaskan peluang," katanya.

Lau Pei Heng, 24, graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Komputer UniMAP pula berkata mereka turut didedahkan dengan kemahiran digital dan keusahawanan yang bersesuaian dalam memastikan para graduan yang menyertai program ini dapat meningkatkan kebolehpasaran dalam bidang pekerjaan.

“Contohnya macam saya belajar tentang teknikal dan komputer ketika di UniMAP, namun menerusi program ini saya juga belajar tentang bagaimana untuk memulakan perniagaan serta keselamatan siber," katanya lagi.

Bagi Mohd Arif Jahjahah, 22, graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat UTP, tempoh dua minggu menyertai PETRONAS BeDigital Bootcamp berbaloi untuk semua peserta menimba ilmu dan pengalaman baharu dalam memantapkan tahap keupayaan diri.

"Hasil program ini, kemahiran insaniah atau ‘soft skills’ seperti cara pemikiran kritikal serta kemahiran khusus dapat ditingkatkan dengan penggunaan Power BI. Saya juga telah belajar untuk mencabar diri menjadi seorang yang berkeyakinan tinggi," katanya.

Sementara itu Pengurus Negara Amazon Web Services Malaysia Sdn Bhd (AWS) Peter Murray berkata program seumpama ini adalah bukti bagaimana PETRONAS membawa kejayaan dan skala mereka untuk melabur dalam tanggungjawab yang luas bagi pembangunan kemahiran di seluruh Malaysia.

"Ia secara langsung memberi impak kepada penciptaan pekerjaan serta menekankan kepentingan kemahiran digital untuk bakat-bakat muda yang bersemangat dan bakal menjadi asas pada masa depan. Terima kasih PETRONAS atas kepimpinan yang jelas, dan kami berharap dapat menyokong lebih banyak kohort BeDigital Bootcamp pada masa hadapan," katanya.

Sehingga kini 860 pelajar, 27 universiti tempatan dan lebih 90 rakan kongsi mengambil bahagian dalam PETRONAS Digital Bootcamp yang dianjurkan di Sabah, Sarawak, Pantai Timur dan wilayah Selatan. 

-- BERNAMA

Penafian: Ini adalah artikel advertorial berbayar. BERNAMA tidak bertanggungjawab terhadap kandungan, ketepatan dan pendapat yang disiarkan dalam artikel tersebut.

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan