AM

NRES LAKSANA KAJIAN CEGAH HARIMAU KELUAR HABITAT ASAL

17/10/2024 04:18 PM

CYBERJAYA, 17 Okt (Bernama) -- Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) akan menjalankan kajian menyeluruh untuk mencegah atau mengelak harimau keluar dari habitat asalnya seterusnya mendatangkan kemudaratan kepada manusia, kata Menterinya Nik Nazmi Nik Ahmad.

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, beliau berkata NRES mengambil maklum tentang kejadian seorang lelaki maut disyaki dibaham harimau dekat Gerik, Perak pada 15 Okt lepas dan menekankan bahawa perubahan dalam habitat harimau berkemungkinan mengakibatkan masalah sama berulang pada masa akan datang.

“Isu menjaga habitat memainkan peranan yang sangat penting tetapi kita juga sedang melihat keadaan binatang mangsa yang menjadi makanan (harimau) ini. Sebab ada laporan bahawa bila terjejas bilangan binatang mangsa dalam hutan, ia juga tentulah mendorong harimau ini untuk keluar. 

“Pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) ada membekalkan ataupun melepaskan binatang-binatang mangsa ini ke dalam hutan untuk binatang pemangsa (harimau) supaya tidak mendorong pemangsa keluar dari kawasan hutan, tetapi mungkin ia perlu dibesarkan lagi dan ada kajian menyeluruh,” katanya.

Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris dilaporkan berkata seorang lelaki ditemukan maut disyaki dibaham harimau berhampiran rumah kongsi Bagan Balak di Kilometer 79.2 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) dekat Gerik.

Mangsa berusia 54 tahun dan bekerja sebagai pengendali jentera berat dipercayai hendak ke tandas rumah kongsi berkenaan.

-- BERNAMA



 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan