AM

BELANJAWAN 2025: SABAH, SARAWAK KEKAL TERIMA PERUNTUKAN TERTINGGI - PM ANWAR

18/10/2024 05:35 PM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Peruntukan pembangunan Sabah dan Sarawak terus diberikan keutamaan menerusi Belanjawan 2025 dan menjadi antara yang tertinggi antara negeri iaitu masing-masing RM6.7 bilion dan RM5.9 bilion.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata jurang pembangunan antara negeri perlu dirapatkan khususnya melibatkan prasarana asas seperti jalan raya, elektrik dan air bersih.

“Kerajaan MADANI menunaikan kesepakatan pemimpin terdahulu terkait Perjanjian Malaysia 1963 dan ia tidak harus dipertikai memandangkan Sabah dan Sarawak diberikan perhatian khusus,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini. 

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan turut bercadang untuk menaikkan kadar Pemberian Khas Sarawak dan Sabah sekali ganda lagi iaitu kepada RM600 juta pada tahun hadapan, selain memaklumkan Pemberian Khas Sarawak tidak pernah dikaji sejak 1969.

“Di bawah Kerajaan MADANI, tahun ini kita telah menaikkan kadar kepada RM300 juta ketimbang RM16 juta (Sarawak) dan RM125.6 juta (Sabah),” katanya.

Beliau berkata sebanyak 17 pakej kerja Pan Borneo Sabah Fasa 1B telah dikeluarkan surat setuju terima (SST) dengan nilai kontrak RM9.7 bilion meliputi jajaran Kota Belud ke Kudat; Tawau ke Kampung Lot M dan Telupid ke Ranau manakala Pan Borneo Sarawak dijangka siap bulan depan.  

Anwar berkata secara keseluruhan, Projek Pan Borneo Sarawak dan Sabah telah menelan belanja sebanyak RM25.1 bilion.

Kerajaan katanya telah memuktamadkan empat pakej kerja Sabah Sarawak Link-Road (SSLR) Fasa 2 bernilai RM7.4 bilion dengan dua pakej sudah dianugerahkan dan baki pakej sebelum hujung tahun, katanya. 

Beliau berkata kerajaan juga bersetuju melaksanakan Projek Pembesaran Lapangan Terbang Tawau, Sabah dan Lapangan Terbang Miri, Sarawak dengan kos RM253 juta.

Kerajaan Persekutuan dan Sarawak juga akan bekerjasama membangunkan Pusat Kanser Sarawak yang dianggarkan bernilai RM1 bilion ringgit, kata Anwar, sambil memuji kesediaan Sarawak yang mendahulukan pembiayaan bagi pelaksanaan projek berkenaan.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan