EKONOMI

PELABUR ASING KEKAL PEMBELI BERSIH BON KORPORAT MALAYSIA UNTUK BULAN KELIMA

12/03/2025 12:00 PM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

 

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Senario ketidaktentuan pasaran global terbukti bukan penghalang pelabur asing yang kekal sebagai pembeli bersih Sekuriti Hutang Swasta (PDS) Malaysia bagi lima bulan berturut-turut, sekali gus memaparkan keyakinan terhadap pasaran bon korporat negara.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid yang memetik data ekonomi Riverbank Macro Insights, berkata selera pelabur bagi bon korporat juga kekal kukuh dengan terbitan utamanya mencatat kadar lebihan langganan sehingga tujuh kali.

“Trend ini mencerminkan keyakinan berterusan ke atas instrumen hutang korporat Malaysia walaupun wujud usaha mengelak risiko lebih meluas dalam pasaran kewangan global," katanya kepada Bernama.  

Mohd Afzanizam berkata walaupun pelabur asing menjadi penjual bersih dalam pasaran pendapatan tetap tempatan, terutama bon kerajaan, daya tahan pasaran PDS sebaliknya hanya menyerlahkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang stabil.

Beliau berkata aliran masuk terkumpul PDS berjumlah RM4.2 bilion bagi tempoh Oktober 2024 hingga Februari 2025 dengan Oktober 2024 dan November 2024 masing-masing berjumlah RM0.5 bilion, Disember 2024 (RM1.7 bilion), Januari 2025 (RM0.7 bilion) dan Februari 2025 (RM0.8 bilion).

Pada Februari 2025, aliran keluar bersih dana asing daripada aset pendapatan tetap Malaysia berjumlah RM1.1 bilion, sebahagian besarnya didorong oleh Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) yang mencatat jualan bersih sebanyak RM1.4 bilion, katanya.

Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) pula mencatat aliran keluar lebih kecil iaitu RM200 juta.

Beliau juga menyifatkan permintaan kukuh terhadap bon korporat mencerminkan daya tarikan hutang sektor swasta Malaysia yang disokong oleh asas korporat kukuh serta jangkaan kadar faedah yang menggalakkan.

“Mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan Amerika Syarikat akan datang pada 18-19 Mac, 2025 dan Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia pada 24 Mac, 2025, dijangka memaparkan butiran trajektori ekonomi negara yang lebih jelas.

“Apabila keadaan pasaran berkembang, pasaran bon korporat Malaysia kekal sebagai tarikan yang membuktikan daya tahan dalam senario perubahan trend pelaburan global," katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan