AM

BELANJAWAN 2025: HAMPIR RM900 JUTA DIPERUNTUKKAN LAKSANA PPR, RUMAH MESRA RAKYAT

18/10/2024 06:39 PM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) – Hampir RM900 juta diperuntukkan bagi melaksanakan 48 Program Residensi Rakyat (PRR) dan 14 projek Rumah Mesra Rakyat dalam Belanjawan 2025, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata ia termasuk pembinaan dua projek PRR baharu di Port Dickson dan Seberang Perai Tengah.

“30 projek PRR dijangka siap penghujung 2025 yang bakal memberi manfaat kepada hampir 17,500 penghuni baharu. Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) telah meluluskan RM12.8 bilion Jaminan Kerajaan kepada lebih RM57,000 pembeli rumah pertama," katanya ketika membentangkan belanjawan itu di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata hampir RM200 juta diperuntukkan bagi menyelenggara rumah strata kos rendah dan sederhana awam termasuk mengganti lif usang.

“Sebanyak 48 Taman Awam MADANI dinaik taraf meliputi kawasan rekreasi serta landskap serba indah di bandar dan pekan kecil dengan peruntukan hampir RM100 juta.

“Kampung Baru Cina diperuntukkan sebanyak RM84 juta antaranya untuk menaik taraf kemudahan asas dan sosial bagi kegunaan komuniti,” katanya.

Bagi menggalakkan pemilikan rumah pertama, Anwar berkata kerajaan bercadang memberikan pelepasan cukai individu hingga RM7,000 ke atas bayaran faedah pinjaman perumahan termasuk pelepasan cukai hingga RM7,000 bagi rumah kediaman berharga sehingga RM500,000.

“Pelepasan cukai sehingga RM5,000 diberikan bagi rumah kediaman berharga melebihi RM500,000 hingga RM750,000. Pelepasan ini boleh dituntut bagi tiga tahun taksiran berturut-turut ke atas perjanjian jual beli yang disempurnakan dalam tempoh 1 Jan 2025 hingga 31 Dis 2027,” katanya.

Anwar juga berkata prasarana asas di kawasan kampung, desa dan pedalaman terus ditumpukan bagi memberikan keselesaan kepada rakyat dengan peruntukan RM2.9 bilion. 

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan