AM

BELANJAWAN 2025 PERLIHAT KETERANGKUMAN, KEPRIHATINAN KERAJAAN - AHMAD ZAHID

19/10/2024 01:36 AM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 memperlihatkan keterangkuman dan keprihatinan kerajaan kepada masyarakat luar bandar, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata kementerian itu diberikan peruntukan tambahan RM457 juta, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM11.9 bilion, yang terbesar diterima Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah setakat ini.

"Ini memperlihatkan keprihatinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Penduduk desa keseluruhannya ialah 8.1 juta orang dan keterangkuman ini memperlihatkan masyarakat luar bandar tidak diketepikan," katanya pada sidang media selepas pembentangan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2025 yang memperuntukkan RM421 bilion, terbesar dalam sejarah.

Anwar berkata kerajaan terus mengekalkan belanjawan mengembang meliputi RM335 bilion untuk perbelanjaan mengurus, RM86 bilion untuk pembangunan, tidak termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka.

Dari segi infrastruktur asas di kawasan luar bandar, Ahmad Zahid berkata RM2.9 bilion disediakan bagi memberi keselesaan kepada rakyat selain projek bina dan baiki jambatan serta pemasangan dan selenggara lampu jalan kampung diteruskan melibatkan peruntukan lebih RM350 juta.

"Begitu juga peruntukan untuk bekalan air, elektrik dan prasarana luar bandar menyaksikan peningkatan sangat ketara," katanya dan menambah Belanjawan 2025 juga meningkatkan peruntukan kepada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah (FELCRA) kepada RM2.6 bilion.

Bagi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa TVET menyambut baik peningkatan peruntukan kepada RM7.5 bilion pada 2025 berbanding RM6.8 bilion tahun ini.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dalam sidang media berkata Belanjawan 2025 turut memberi fokus kepada peruntukan pembangunan Sabah dan Sarawak, yang tertinggi antara negeri lain iaitu masing-masing RM6.7 bilion dan RM5.9 bilion.

“Infrastruktur Sabah dan Sarawak juga diberi tumpuan untuk merapatkan jurang dari segi pembangunan fizikal antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia,” katanya.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata kementerian itu menerima peruntukan keseluruhan berjumlah RM4.95 bilion meliputi perbelanjaan mengurus sebanyak RM362.67 juta dan perbelanjaan pembangunan (RM4.59 bilion).

“Fokusnya adalah untuk program tebaran banjir dengan setakat ini kerajaan telah menyiapkan lapan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) bernilai RM540 juta dan 12 RTB dengan kos RM3 bilion telah dikeluarkan Surat Setuju Terima (SST) pada 2024 dan berjalan mengikut jadual,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan