AM

PM ANWAR ARAH NILAI SEMULA KEPERLUAN PERJAWATAN DI PEJABAT PERWAKILAN, AGENSI LUAR NEGARA

19/10/2024 12:53 AM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan untuk mengoptimum sumber termasuk menilai keperluan perjawatan di pejabat perwakilan dan agensi luar negara.

Beliau berkata ia susulan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Wisma Putra telah mengenal pasti 64 daripada 126 pejabat luar negara didapati tidak beroperasi di bawah satu bumbung.

“Lantaran itu, kerajaan telah memutuskan agar operasi mereka dipindahkan ke Pejabat Canseri atau digabungkan dengan pejabat berdekatan, bagi menjimatkan kos lantas mengoptimumkan sumber,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 Malaysia MADANI, di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata acapkali berlaku keterlanjuran sama ada melibatkan jabatan, agensi dan syarikat kerajaan yang agak menonjol, sedangkan dana yang dibelanjakan itu ialah dana rakyat.

Beliau berkata atas alasan itu, kerajaan telah membatalkan perjalanan rombongan 68 pegawai ke satu pameran di Berlin, Jerman baru-baru ini yang walaupun nilainya mungkin dianggap kecil, tetapi bermakna sekiranya digunakan untuk kepentingan rakyat.

Anwar berkata kerajaan juga akan meneliti semua ruang dan bangunan yang kosong milik agensi kerajaan, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) agar sumber yang tidak digunakan ini, akan dimanfaat untuk tujuan prasekolah, taska dan pusat latihan kemahiran.

Beliau berkata antara usaha lain dalam memanfaat sumber kerajaan termasuklah menyalurkan sebahagian hasil yang diraih daripada penjualan nombor plat khas untuk membantu rakyat susah.

Perdana Menteri berkata ini termasuklah menampung bayaran mendapatkan lesen motosikal oleh 15,000 anak muda kurang mampu seperti murid sekolah menengah, mahasiswa dan belia yang mencari kerja.

“Memberi bantuan pembelian tiket penerbangan bagi 60,000 ribu mahasiswa kurang mampu khususnya dari Sabah dan Sarawak untuk pulang ke kampung halaman, mengedarkan 67,000 keluarga susah dengan topi keledar secara percuma untuk keselamatan anak-anak,” katanya.

Anwar berkata Belanjawan 2025 kekal komited melindungi khazanah alam dengan Dana Ecological Fiscal Transfer (EFT) ditingkatkan kepada RM250 juta berbanding RM200 juta bagi menyokong usaha negeri melindungi hutan dan hidupan liar.

Beliau berkata kriteria pengagihan EFT ditetapkan semula iaitu 50 peratus peruntukan yang diagihkan tertakluk kepada prestasi perbelanjaan kerajaan negeri, berbanding 30 peratus pada masa ini.

“Peranan orang asli dan veteran beruniform dalam membenteng kawasan hutan simpan kekal amat dihargai. Kerajaan meningkatkan lantikan renjer komuniti kepada 2,500 orang ketimbang 2,000 orang dengan peruntukan RM80 juta,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan