AM

RM2.5 JUTA SELESAI SEMENTARA MASALAH PENYURAIAN TRAFIK DI TAPAH - AHMAD

19/10/2024 04:16 PM

TAPAH, 19 Okt (Bernama) -- Peruntukan sebanyak RM2.5 juta diperlukan bagi menyelesaikan masalah sistem penyuraian trafik di pekan Tapah bagi jangka masa pendek, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan.

Ahmad berkata setakat ini terdapat dua kaedah bagi memperoleh peruntukan itu iaitu melalui Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) atau sekiranya terdapat lebihan daripada peruntukan lain.

“Kita cuba tahun ini (kelulusan RM2.5 juta), ada dua kaedah, satu kaedah melalui MARRIS yang kita bersama-sama dengan kerajaan negeri, satu lagi ialah kaedah peruntukan yang kami boleh dapatkan daripada mana-mana lebihan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu, beliau meninjau sistem penyuraian trafik yang baharu dilaksanakan di sekitar pekan Tapah di sini sebelum menghadiri taklimat berkaitan perkembangan isu itu di Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Batang Padang.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Ahmad berkata penyelesaian jangka masa pendek dengan sejumlah peruntukan itu adalah setelah dipersetujui semua pihak terlibat terhadap kaedah-kaedah yang akan dilaksanakan.

“Sama ada ingin menggunakan lampu isyarat pintar, mematikan lampu isyarat, ingin membuat segala pembaikan, mengubah segala bongkah konkrit yang ada itu dengan keadaan yang lebih cantik untuk pekan Tapah. Jadi, komitmen saya pada hari ini dan pengarah negeri (JKR) ialah mencari RM2.5 juta untuk itu.

“Walaupun demikian, segala urusan bersama menangani masalah dengan peniaga dan sebagainya, saya kena serahkan kepada DO (pegawai daerah) dan YDP (Yang Dipertua Majlis Daerah Tapah Ahmad Roslan Mohamed Nazir) serta Yang Berhormat (Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri) kita,” katanya.

Berkenaan pelan jangka masa panjang bagi menyelesaikan masalah sistem penyuraian trafik itu berdasarkan cadangan JKR negeri iaitu dengan membina bypass (jalan pintas) sepanjang 200 meter melibatkan kos RM17 juta, Ahmad berkata beliau mahu JKR negeri meneliti semula perkara berkenaan.

“Saya suruh mereka kira semula, sebab bypass cuma 200 meter dan kosnya pada saya tinggi. Jadi mungkin kena kira semula dari segi nilai tanah dan sebagainya sebab ia termasuk pengambilan balik tanah dan pengalihan utiliti,” katanya.

Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam kenyataan memaklumkan, pada 23 Ogos lepas sistem jalan sehala telah dilaksanakan sepenuhnya di pekan Tapah dengan dua lampu isyarat di situ telah ditutup bagi melancarkan aliran trafik. 

Menurut KKR, dalam tempoh ujian sistem jalan sehala itu, kesesakan trafik di pekan Tapah telah berjaya diminimumkan dan lalu lintas kenderaan berjalan lancar.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan