BERITA TERGEMPAR   PM Anwar arrives in Jakarta to attend Indonesian presidential inauguration | 
 AM

FESTIVAL RASA MALAYSIA 2024 DI BEIJING UBATI KERINDUAN PERANTAU MALAYSIA

19/10/2024 05:06 PM

Oleh Marfika Adnan Haris Fadzilah

BEIJING 19 Okt (Bernama) -- Festival Rasa Malaysia 2024 yang diadakan kali kedua di sini mengubati kerinduan rakyat Malaysia di perantauan, khususnya yang menetap di China terhadap aneka juadah kegemaran mereka di tanah air tercinta.

Ribuan rakyat Malaysia dan warga tempatan yang menetap di Beijing tidak melepaskan peluang menikmati pelbagai juadah antaranya nasi lemak, sate, laksa, mi goreng, nasi kerabu, durian segar dan roti canai dalam festival tiga hari yang bermula semalam hingga esok.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam Universiti Jiaotong Beijing Mohammed Shawal Ian Fitri Azuan, 25, berkata festival itu mengubati kerinduannya terhadap makanan Malaysia kerana sudah dua tahun tidak pulang ke kampung halaman.

"Saya rindu sangat nak makan makanan Malaysia, mahu lepak mamak bersama kawan-kawan, dekat sini saya dapat semua itu. Boleh saya katakan, rindu saya terubat.

"Saya beli roti canai, teh tarik dan laksa yang membuatkan saya ‘betul-betul berada di Malaysia’," katanya kepada Bernama.

Bagi penjawat awam di Beijing, Elisa Marie Paul, 38, menyifatkan penganjuran festival itu pada kali ini lebih meriah kerana selain dapat merasai pelbagai juadah Malaysia, pengunjung juga berpeluang membeli produk kraf tangan buatan Malaysia.

"Selain dapat merasai makanan, program ini juga adalah ‘big gathering’ untuk rakyat Malaysia di sini. Setiap tahun saya senantiasa ternanti-nanti acara ini," katanya.

Selain itu, penduduk tempatan Za Xueyang, 28, yang mengetahui mengenai festival itu daripada media sosial berkata dia rambang mata apabila melihat pelbagai jenis makanan yang jarang-jarang dapat dilihatnya di sini.

"Makanan yang dijual semua enak dan saya sangat suka. Saya rasa saya perlu ke Malaysia untuk mencuba pelbagai lagi makanan menarik.

"Sate dan nasi lemak sangat sedap, kuih-muih yang dijual juga enak. Rasanya sangat berbeza dengan makanan di sini, saya juga cuba kuih ketayap dan rasanya sangat lemak serta manis, betul-betul buat saya jatuh cinta,” katanya.

Sementara itu, Duta Besar Malaysia ke China Datuk Norman Muhamad yang melancarkan program itu berkata acara berkenaan menjadi platform terbaik untuk rakyat China mengenali Malaysia dengan lebih dekat terutama daripada aspek makanan. 

"Saya rasa makanan ini wadah terbaik untuk memperkenalkan sesebuah negara sebab semua orang suka makan. Selain itu, negara kita kaya dengan pelbagai jenis makanan yang enak," katanya.

Festival anjuran Kedutaan Malaysia di China, Tourism Malaysia dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Malaysia (MAYCHAM) di negara Tembok Besar itu bermula 18 hingga 20 Ogos bersempena 50 tahun hubungan diplomatik Malaysia-China.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan