BERITA TERGEMPAR   PM Anwar arrives in Jakarta to attend Indonesian presidential inauguration | 
 EKONOMI

DEFISIT RENDAH TAHUN DEPAN, TERBITAN HUTANG PADA RM163.5 BILION - CIMB SECURITIES

19/10/2024 07:08 PM

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Defisit Kerajaan Persekutuan yang berkurangan pada RM80 bilion tahun depan iaitu susut RM4.3 bilion daripada semakan unjuran RM84.3 bilion tahun ini, hanya mengunjurkan keperluan pinjaman bersih yang lebih sederhana pada 2025, kata CIMB Securities Sdn Bhd.

Hutang kerajaan itu pada 63.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setakat akhir Jun 2024 dengan Kementerian Kewangan mengunjurkan nisbah berkenaan kekal dalam julat 64 peratus pada akhir 2024 dan 2025.

Dalam nota penyelidikannya, CIMB Securities berkata caj perkhidmatan hutang berjumlah RM54.7 bilion pada 2025, peningkatan sederhana daripada RM50.8 bilion pada 2024 berikutan jumlah pinjaman bersih lebih kecil serta kadar faedah yang lebih rendah.

“Ini ditambah pula dengan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) yang matang sebanyak RM83.5 bilion, terbitan kasar dijangka turun mendadak kepada RM163.5 bilion daripada RM183 bilion.

“Terdapat satu sukuk US$1 bilion matang pada April 2025 yang kami jangkakan akan dibiayai semula dalam dolar Amerika Syarikat dan memberi prospek neutral bagi unjuran pembiayaan berdaulat ringgit,” katanya.

CIMB Securities berkata semakan unjuran Kementerian Kewangan untuk MGS dan GII Malaysia (MGII) pada 2024 sebanyak RM90.5 bilion dan RM92.5 bilion juga meletakkan terbitan bon pada sasaran dengan unjurannya sebanyak RM183 billion. 

Bagaimanapun, CIMB Securities berkata terbitan kasar berkemunginan lebih tinggi daripada dijangkakan oleh jumlah pinjaman bersih dan pembiayaan semula susulan penggantian bil Perbendaharaan dan prapembiayaan 2026.

Bil Perbendaharaan merujuk kepada instrumen atau sekuriti hutang jangka pendek dikeluarkan oleh Kerajaan Persekutuan bagi tujuan pengumpulan dana.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan