BERITA TERGEMPAR   PM Anwar arrives in Jakarta to attend Indonesian presidential inauguration | 
 EKONOMI

PERUNTUKAN RM2.184 BILION UNTUK MITI BUKTI IKTIRAF KEBERKESANAN NIMP 2030

19/10/2024 07:11 PM

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Pengumuman peruntukan sebanyak RM2.184 bilion kepada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam Belanjawan 2025 dilihat sebagai mengiktiraf keberkesanan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dalam memacu potensi global industri Malaysia.

Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata kementerian itu turut mengalu-alukan langkah Kerangka Insentif Pelaburan Baharu yang bakal dilaksanakan pada suku ketiga 2025 selain peruntukan RM200 juta untuk Dana Pelaburan Bersama Strategik (CoSIF2) dan Dana Pembangunan Industri NIMP (NIDF3).

Langkah utama lain termasuk peruntukan pelaburan RM1 bilion daripada Khazanah Nasional Bhd (KNB) bagi memperkukuh kedudukan Malaysia dalam sektor semikonduktor selain terus membangunkan industri bagi meraih peluang global yang dijangka bernilai lebih US$1 trilion menjelang 2030.

“Sehubungan itu, perluasan insentif cukai bagi reka bentuk litar bersepadu (IC) juga bakal merangsang eksport dan meningkatkan kompleksiti dalam sektor elektrik & elektronik (E&E),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menyentuh usaha memacu pendigitalan industri negara, Tengku Zafrul berkata MITI menyambut baik peruntukan RM10 juta untuk meningkatkan penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) menerusi kerjasama dengan kalangan akademia dan industri Malaysia bagi memperkukuh inovasi digital melalui sokongan Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO).

Peruntukan RM10 juta bagi penyambungan Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik CKD5 yang menyediakan rebat sehingga RM2,400 akan terus dilaksanakan oleh Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) dalam usaha meneraju industri kenderaan elektrik (EV).

“Penggunaan EV oleh rakyat Malaysia juga pasti diperluaskan melalui penetapan harga kurang daripada RM100,000 bagi EV pertama Malaysia yang sedang dihasilkan oleh Perodua,” katanya.

Bagi memupuk pembangunan bakat industri pula, peruntukan RM200 juta menerusi pelaburan Khazanah Nasional Berhad di bawah Program Pembangunan Belia K-Youth untuk melahirkan 11,000 bakat tempatan bagi sektor utama seperti semikonduktor.

“Peruntukan tambahan RM20 juta pula bagi Universiti Teknologi MARA (UiTM) melahirkan lebih ramai jurutera E&E, terutamanya penyertaan jurutera Bumiputera dalam industri semikonduktor.

“Selain itu potongan cukai khas untuk Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dan institut latihan kemahiran swasta yang membangunkan kursus baharu dalam teknologi digital, AI, robotik, Internet Kebendaan (IoT), sains data, teknologi kewangan (fintech) dan teknologi mampan,” katanya.

Memperincikan selanjutnya, Tengku Zafrul berkata pengeksport Malaysia boleh memanfaatkan Skim Insentif Pemampanan Pengeksport kendalian EXIM Bank melalui peruntukan RM750 juta bagi menyokong usaha ke pasaran antarabangsa.

Selain itu, geran RM40 juta melalui Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) pula bagi meneroka pasaran baharu seperti Afrika, Amerika Selatan dan Timur Tengah.

“Sejumlah RM20 juta diperuntukkan kepada MATRADE untuk memacu perkembangan industri halal dan peluang-peluang baharu eksport bagi produk dan perkhidmatan halal ke pasaran antarabangsa,” katanya.

Dalam pada itu, MITI juga positif dengan langkah penggabungan Halal Development Corporation Berhad (HDC) dengan MATRADE untuk menyelaras dan memperkukuhkan promosi perdagangan halal.

“Seterusnya, bagi pelaksanaan inisiatif-inisiatif peningkatan produktiviti, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) akan bekerjasama rapat dengan Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) untuk memperluas inisiatif reformasi birokrasi di semua agensi kerajaan,” kata Tengku Zafrul.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan