BERITA TERGEMPAR   PM Anwar arrives in Jakarta to attend Indonesian presidential inauguration | 
 AM

KUSKOP KOMITED LAKSANA INISIATIF BELANJAWAN 2025 KEPADA RAKYAT

19/10/2024 06:31 PM

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) komited untuk melaksanakan inisiatif Belanjawan 2025 yang diperuntukkan bagi memastikan perkhidmatan kepada kumpulan sasaran dilaksanakan dan memberi manfaat sewajarnya kepada rakyat.

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata KUSKOP yakin Belanjawan 2025 dapat membangunkan sosioekonomi serta mengetengahkan solusi yang ampuh bagi membantu pembangunan usahawan dan koperasi.

"Ini sekali gus dapat menjayakan pertumbuhan masa depan Malaysia demi mencapai hasrat memartabatkan dan mengutamakan rakyat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihaknya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menyambut baik pembentangan Belanjawan 2025 yang menyediakan kemudahan pinjaman serta jaminan pembiayaan perniagaan di bawah agensi kerajaan secara keseluruhan berjumlah RM40 bilion.

Ewon berkata Belanjawan 2025 menterjemahkan tumpuan yang lebih besar pada kesejahteraan rakyat, mengutamakan perlindungan golongan rentan, menambah baik prasarana asas dan menangani ketidakcekapan seperti rasuah serta ketirisan sumber.

Antara insentif yang dapat dimanfaatkan menerusi KUSKOP dan agensi di bawahnya dalam Belanjawan 2025 ialah pinjaman bersaiz mikro tersedia hingga RM3.2 bilion termasuk menerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional dan Bank Simpanan Nasional (BSN) bagi membantu penjaja kecil termasuk komuniti orang kurang upaya (OKU), masyarakat Cina serta bumiputera.

Selain itu, Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) dan SME Bank menawarkan pembiayaan khusus kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) halal dengan dana tersedia hampir RM600 juta.

Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) pula disediakan RM20 juta untuk terus menggalakkan generasi belia menceburi bidang perniagaan dan kerajaan turut menyokong aktiviti perniagaan badan koperasi termasuk menyediakan modal pusingan dengan dana pembiayaan hingga RM100 juta di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

Sejumlah RM470 juta dana pembiayaan disediakan oleh SME Bank, BSN, Bank Rakyat dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dalam menyokong PMKS wanita mendapatkan modal kerja, membeli aset dan meningkatkan kapasiti perniagaan ke tahap lebih tinggi.

Dalam pada itu, RM700 juta dikhususkan untuk memperbanyak saluran program kos sara hidup lain bagi mengawal harga barang termasuk melalui usaha sama dengan pengusaha pasar raya, 88 pasar borong, kedai runcit, pasar tani, koperasi dan sebagainya.

Sebanyak RM800 juta pembiayaan di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) tersedia untuk lebih ramai usahawan bumiputera termasuk menyokong artisan tempatan.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan