BERITA TERGEMPAR   PM Anwar arrives in Jakarta to attend Indonesian presidential inauguration | 
 AM

BELANJAWAN 2025: MOT LAKSANA KEMUDAHAN VAN KE SEKOLAH GUNA SISTEM DRT

19/10/2024 06:41 PM

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Kemudahan van untuk anak-anak ke sekolah dari stesen tren terpilih dengan bayaran 50 sen sehala seperti diumumkan Belanjawan 2025 akan dilaksanakan menerusi perkhidmatan Transit Responsif Atas Permintaan (DRT).

Kementerian Pengangkutan (MOT) menerusi kenyataan memaklumkan DRT akan menjadi mod pengangkutan awam alternatif kepada pelajar sekolah yang bertujuan mengurangkan kos pengangkutan dan memberi kemudahan pergi balik sekolah kepada mereka.

“Melalui inisiatif ini, dua laluan bagi ujian rintis DRT telah dikenal pasti. Stesen terlibat ialah di LRT Sri Rampai dan LRT Melati.

“Impak pelaksanaan akan meringankan beban kewangan ibu bapa dengan pengenalan tambang yang lebih murah iaitu kadar tambang semasa van sekolah adalah RM90 secara bulanan berbanding DRT iaitu 50 sen untuk pelajar sekolah dan RM1 untuk pengguna biasa,” menurut kenyataan itu.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2025 berkata sejumlah RM750 juta diperuntukkan kepada MOT untuk inisiatif pengangkutan awam, sejajar dengan matlamat kerajaan mengurangkan kos sara hidup rakyat dan meningkatkan kualiti perkhidmatan awam.

Mengenai pengumuman perolehan bas elektrik, kementerian itu memaklumkan fasa pertama perolehan sebanyak 250 bas akan dilaksanakan pada suku keempat 2025 hingga suku keempat 2026, manakala perolehan sebanyak 645 bas akan dilaksanakan pada fasa kedua iaitu pada 2027 hingga 2028.

MOT memaklumkan perolehan itu perlu bagi menggantikan bas-bas yang telah uzur di samping memastikan keselamatan penumpang dan mengurangkan kos penyelenggaraan. 

Inisiatif ini juga, menurut kementerian itu dapat meningkatkan kapasiti, mengurangkan headways (jarak masa dua kenderaan awam dalam laluan sama) dan memberi pengalaman perjalanan lebih selesa kepada penumpang serta menyokong aspirasi kerajaan dalam memelihara kelestarian alam sekitar.

Kementerian dalam pada itu menyambut baik keputusan meneruskan Pas Bulanan My50 Lembah Klang bagi penumpang menggunakan bas dan rel Prasarana dan akan menyusul dengan Kementerian Kewangan berhubung peruntukan diluluskan bagi 2025 selepas peruntukan sebanyak RM200 juta diluluskan tahun ini.

Menyambut baik peruntukan RM270 juta bagi pelaksanaan perkhidmatan bas henti-henti di semua negeri, MOT memaklumkan kementerian itu akan memastikan ia dimanfaat sepenuhnya bagi memastikan perkhidmatan itu terus disediakan di bawah program Program Transformasi Bas Berhenti-Henti (SBST) dan program bantuan Dana Sokongan Sementara Bas Berhenti-henti (ISBSF) seluruh negara.

MOT turut menjelaskan inisiatif tambang percuma kepada semua mahasiswa warganegara di universiti, politeknik, kolej komuniti dan matrikulasi di seluruh negara yang menggunakan perkhidmatan BAS.MY dijangka  memberi manfaat kepada mahasiswa di lebih 60 institusi, melibatkan lebih 400,000 orang.

Kementerian juga akan mengenal pasti 100 lokasi hentian bas yang akan dibina atau ditambah baik melibatkan kerjasama pihak swasta dan Badan Berkaitan Kerajaan (GLC) yang akan dapat menggalakkan penggunaan pengangkutan awam selaras hasrat meningkatkan perkongsian mod dalam pengangkutan awam.

Dalam pada itu, MOT memaklumkan pihaknya bersedia memberi kerjasama sewajarnya bagi menjayakan projek pembangunan Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC) sebagai hab industri maritim serantau.

“MOT menyambut baik cadangan pembinaan dan menaik taraf jalan Lingkaran Pulau Indah dan  Pelabuhan Utara Klang, Selangor dengan kos RM107 juta.  Penambahbaikan infrastruktur ini akan membantu melancarkan  pergerakan barangan di samping menjamin keselamatan pengguna jalan raya,” menurut MOT.

MOT turut menyambut baik penyediaan dana pembiayaan Bank Pembangunan sebanyak RM6.4 bilion untuk  membiayai pelbagai sektor termasuk pengangkutan dan logistik termasuk dalam industri maritim.

“Cadangan agar syarikat logistik yang menjalankan aktiviti kompleks logistik pintar diberi elaun cukai pelaburan diharap dapat meningkatkan kapasiti industri logistik dengan mengadaptasi teknologi Revolusi Industri 4.0. 

“Galakan cukai ini penting bagi menyokong pertumbuhan industri logistik yang cenderung ke arah berteknologi tinggi serta menyokong aspirasi kerajaan untuk memposisi Malaysia sebagai hab logistik serantau menjelang 2030,” menurut MOT dan menambah turut komited melaksanakan inisiatif Kampung Angkat MADANI dengan memilih Kampung Orang Asli Ngoi-Ngoi di Negeri Sembilan bagi pelaksanaan program berkenaan.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan