BERITA TERGEMPAR   PM Anwar arrives in Jakarta to attend Indonesian presidential inauguration | 
 AM

PROGRAM KAMPUNG ANGKAT MADANI PERKUKUH HUBUNGAN ANTARA AGENSI DAN RAKYAT

19/10/2024 07:59 PM

IPOH, 19 Okt (Bernama) -- Program Kampung Angkat MADANI dilihat dapat menyemai semangat kebersamaan dan memperkukuhkan jalinan silaturahim antara kerajaan dengan rakyat.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata pengisian program itu juga mendekatkan masyarakat setempat dengan jentera kerajaan terutama agensi dan jabatan terbabit.

“Ia selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekan perpaduan, kesejahteraan dan keadilan sosial dalam membangunkan negara,” katanya pada Program Kampung Angkat MADANI anjuran Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah APMM Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah, Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan APMM Kepten Kehormat Maritim Mohd Norzam Mustapa, Pegawai Daerah Hulu Perak Mohamad Fitri Hassan dan Pengarah APMM Perak Kepten Maritim Mohd Shukri Khotob.

Mohd Rosli berkata pengukuhan hubungan melalui program berkenaan dilihat mampu membina rasa saling percaya dan sokongan yang lebih mendalam antara agensi dan rakyat.

Sementara itu, sebanyak 100 kotak bakul makanan telah diagihkan kepada penduduk Kampung Beng Dalam, Lenggong, selain pemberian 50 unit jaket keselamatan disumbangkan Telekom Malaysia Bhd (TM) kepada wakil nelayan sempena program tersebut.

Lebih 100 orang pegawai dan anggota APMM turut ‘turun padang’ bergotong-royong mengindahkan surau, membersihkan kawasan tanah perkuburan dan membaiki pondok wakaf.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan