AM

PENGURUSAN TANAH, AIR ASPEK PENTING DALAM PROJEK PENANAMAN PADI LIMA MUSIM

20/10/2024 11:40 AM

KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) -- Selain daripada faktor cuaca, pengurusan tanah dan air yang baik merupakan aspek perlu dititikberatkan bagi memastikan Projek Penanaman Padi Lima Musim Dua Tahun dapat mengeluarkan hasil maksimum seterusnya meningkatkan tahap sara diri (SSR) makanan ruji negara. 

Profesor di Putra Business School Prof Datuk Dr Nasir Shamsudin berkata jika aspek pengurusan tanah dan air diabaikan, hasil tanaman padi semusim berisiko menurun kerana tanah tidak diberikan tempoh ‘rehat’ yang mencukupi.

"Proses pemulihan tanah dan pengurusan air yang mencukupi sangat penting untuk memastikan kesuburan dan produktiviti berterusan, bagaimanapun faktor tanah subur bukan satu-satunya faktor yang penting untuk memastikan kejayaan tanaman padi lima musim. 

"Projek ini memerlukan pendekatan inovatif. Mereka yang terlibat mesti memiliki ciri-ciri keusahawanan serta menggabungkan konsep teknologi pertanian moden dan digital bagi memastikan pertanian yang lebih mampan, seterusnya meningkatkan jaminan makanan dengan lebih berkesan,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Nasir turut memuji usaha kerajaan dalam meningkatkan hasil padi negara, menyifatkannya sebagai langkah yang tepat memandangkan SSR beras negara pada 2023 hanya mencapai 56.2 peratus, jauh daripada sasaran 80 peratus yang ditetapkan dalam Dasar Agromakanan Negara 2.0.

Pada pembentangan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelaksanaan Projek Penanaman Padi Lima Musim Dua Tahun di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Fasa 1, yang melibatkan hampir RM1 bilion dengan keluasan sekitar 11,000 hektar.

Projek ini dijangka mampu meningkatkan hasil padi sebanyak 15 peratus serta melonjakkan pendapatan 6,100 pesawah sebanyak 43 peratus.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) Abdul Hamid Bahari  menyambut baik peningkatan subsidi kepada nelayan, yang dilihat dapat membantu komuniti nelayan menampung kos operasi harian serta meningkatkan taraf hidup mereka.

"Inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan hasil tangkapan, tetapi juga memberi manfaat kepada keseluruhan industri perikanan dan ekonomi tempatan," katanya.

Selain itu, persetujuan menaikkan kadar siling bantuan bina baharu atau penempatan semula rumah nelayan kepada RM84,000 berbanding RM56,000 sebelum ini di Semenanjung, dan RM90,000 berbanding RM68,000 untuk Sabah dan Sarawak, turut dilihat mampu memperbaiki kualiti hidup nelayan.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan