AM

HANYA DUA PROJEK JKR PERSEKUTUAN DIKATEGORIKAN 'SAKIT' DI SARAWAK

20/10/2024 05:06 PM

MIRI, 20 Okt (Bernama) -- Hanya ada dua projek yang dikendalikan Jabatan Kerja Raya (JKR) dikategorikan sebagai sakit di Sarawak, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata projek terbabit adalah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Belaga dan Kolej Vokasional Miri.

“Daripada keseluruhan 786 projek di seluruh negara, sebanyak 21 projek atau 2.67 peratus dikategorikan projek sakit. Jadi di Sarawak ini hanya dua iaitu SMK Belaga dan Kolej Vokasional Miri,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Kompleks Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Miri kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini.

Dalam ucapannya Nanta menggesa agar masyarakat tidak hanya melihat dan menjadikan isu projek sakit yang peratusannya adalah kecil, sedangkan jumlah projek yang berjaya dilaksanakan adalah jauh lebih tinggi.

Dalam pada itu, Nanta berkata projek pembinaan Kompleks APMM Miri merupakan inisiatif kerajaan untuk menyediakan prasarana yang canggih dan serba moden serta mempertingkatkan keupayaan dan keyakinan anggota APMM di situ.

Kompleks bernilai RM118.3 juta yang dibina pada 2020 menggunakan kaedah reka dan bina itu mempunyai 95 unit kediaman (80 unit Kelas F dan 15 unit Kelas D) yang dilengkapi dengan bilik tidur, bilik mandi, stor, ruang tamu dan ruang makan.

Kemudahan asas lain ialah bangunan pentadbiran, bangunan sokongan, surau, jeti, 179 tempat letak kenderaan, 79 tempat letak motosikal dan lain-lain kemudahan berkaitan.

“Kementerian Kerja Raya menyeru pihak kontraktor untuk terus melaksanakan tanggungjawab dalam tempoh tanggungan kecacatan (DLP) hingga 27 Sept 2026, dengan JKR akan terus memantau proses pascapenyerahan bangunan supaya tiada perkara tertangguh dan dilaksanakan mengikut peraturan yang berkuat kuasa,” katanya.

JKR diwakili Pengarah Pembinaan, Pasukan Projek Khas 2 Datuk Jasmi Wahab menyerahkan projek itu kepada Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) APMM Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim yang mewakili KDN.

Saiful Lizan dalam ucapannya berkata APMM sudah menggunakan kompleks berkenaan sejak dua minggu lepas.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan