AM

KERAJAAN DIJANGKA TERUSKAN KONSOLIDASI FISKAL, URUS HUTANG BAHARU YANG MENURUN

21/10/2024 07:28 PM

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Kerajaan dijangka meneruskan konsolidasi fiskal sebagai sebahagian daripada strategi untuk menguruskan hutang, dengan jumlah hutang baharu dilaporkan kian menurun dan diunjurkan mencecah RM80 bilion pada 2025.

Ahli Parlimen Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) berkata pengurangan hutang secara mendadak tanpa pendekatan berperingkat boleh memberi kesan kepada pembangunan dan kestabilan ekonomi.

“Apabila kita mengurangkan hutang negara secara drastik, ia akan memberi kesan berdasarkan dua perspektif. Pertama, kejutan terhadap proses pembangunan negara yang sedang berjalan dan kedua, kesan kepada rantaian kitaran ekonomi dalam negara.

“Saya fikir kerajaan tidak akan melakukan tindakan sedemikian (menjejaskan pelan pembangunan yang dirancang) kerana pelabur yang akan menyokong ekonomi negara kita akan melihat cara konsolidasi fiskal yang kita lakukan,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2025 di peringkat dasar di Dewan Rakyat pada Isnin.

Mohd Shahar yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan berkata kerajaan telah mempunyai Dasar Tanggungjawab Fiskal dan Akta Tanggungjawab Fiskal yang perlu diikuti.

Semasa membentangkan Belanjawan 2025, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata jumlah hutang baharu kian menurun dan diunjurkan mencecah RM85 bilion pada 2024 dan RM80 bilion pada 2025, dan ia lebih rendah berbanding sekitar RM100 bilion pada 2022 dan lebih RM90 bilion pada 2023.

Sementara itu, Mohd Shahar berkata inisiatif untuk memperkukuh hubungan diplomatik dan kerjasama ASEAN, memandangkan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, boleh dilaksanakan menerusi penubuhan Pusat Latihan Penyelidikan Halal ASEAN.

Beliau turut mencadangkan supaya ASEAN mengkaji “ASEAN Shariah Stock Exchange” untuk menjadikan rantau ini sebagai peneraju kewangan Islam global.

“Setakat hari ini, kalau kita meneliti pasaran ekuiti, kita hanya ada kaunter syariah. Kita mahu ada bursa saham yang patuh syariah. Itu yang mendorong saya mencadangkan supaya ASEAN meneroka sebuah platform dagangan bersama yang dikenali sebagai “ASEAN Shariah Stock Exchange”,” tambahnya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan