AM

KKR TETAPKAN GARIS PANDUAN PROSEDUR PEMASANGAN UTILITI JALAN PERSEKUTUAN

24/10/2024 02:16 PM

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Kementerian Kerja Raya (KKR) telah menetapkan garis panduan bagi prosedur pemasangan utiliti di jalan Persekutuan untuk mengelakkan kejadian tanah jerlus akibat kebocoran paip utiliti, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Menurutnya, pemasangan utiliti di dalam rizab jalan Persekutuan perlu mematuhi garis panduan dan keperluan teknikal yang telah disyaratkan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Pemantauan dan penyenggaraan secara berkala juga dibuat oleh syarikat konsesi yang dilantik oleh KKR bagi memastikan jalan dalam keadaan baik termasuk sistem perparitan. Prosedur Operasi Standard (SOP) juga meliputi pelaporan kerosakan pada sistem perparitan dan tindakan pembaikan yang diperlukan.

“Pada masa yang sama, KKR juga akan bekerjasama dengan syarikat-syarikat utiliti yang berkaitan bagi memastikan keadaan jalan Persekutuan yang diselenggara oleh JKR adalah selesa dan selamat untuk digunakan oleh pengguna jalan raya,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Nanta berkata demikian sebagai menjawab soalan V. Ganabatirau (PH-Klang) yang meminta penjelasan mengenai perancangan untuk membantu membendung insiden lubang benam (sinkhole) di kawasan-kawasan yang berisiko tinggi khususnya di kawasan Klang.

Bagi projek-projek pembangunan infrastruktur baharu, Jabatan Kerja Raya (JKR) mengamalkan pelaksanaan kerja penyiasatan tapak yang menyeluruh untuk mengenal pasti struktur lapisan dan parameter tanah. Maklumat ini akan digunakan sebagai input dalam rekabentuk kerja-kerja geoteknik dan sistem perparitan.

Menurutnya, insiden lubang benam berisiko berlaku di kawasan yang didasari oleh batuan kapur, manakala kejadian tanah jerlus boleh berlaku di mana-mana kawasan akibat pelbagai faktor, sama ada semulajadi atau disebabkan aktiviti manusia (anthropogenic).

“Secara amnya, keadaan geologi di kawasan Klang terdiri daripada formasi gula yang merupakan enapan lautan berusia Kuarternar terdiri daripada lempung lautan (marine clay) yang perlu diberi perhatian khusus dalam rekabentuk geoteknik.

“Bagaimanapun, risiko kejadian lubang benam tidak timbul di kawasan Klang memandangkan kawasan ini tidak didasari oleh batu kapur,” katanya.

Oleh itu, katanya potensi kejadian insiden tanah jerlus di kawasan Klang lazimnya adalah disebabkan oleh faktor bukan semulajadi seperti kebocoran paip utiliti, masalah sistem perparitan, kegagalan terhadap struktur tanah tambakan (embankment) yang bersifat setempat dan sebagainya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan