AM

AKTA BAHARU TAHANAN DI RUMAH TIADA KAITAN DENGAN NAJIB - FAHMI

25/10/2024 06:08 PM

PUTRAJAYA, 25 Okt (Bernama) -- Penggubalan akta baharu berkaitan hukuman tahanan di rumah tiada kaitan dengan mana-mana individu termasuk bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang sedang menjalani hukuman penjara ketika ini, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau yang juga jurucakap kerajaan Perpaduan berkata penggubalan akta tersebut adalah satu bentuk peralihan daripada sistem hukuman kepada sistem keadilan pemulihan.

“Baru-baru ini dalam mesyuarat Majlis Sosial Negara yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi), Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail) telah memberikan konteks secara menyeluruh dalam perbincangan mengenai tindakan atau mewujudkan satu akta baharu berkaitan tahanan di rumah. 

“Ia bermula awal tahun lepas, dalam konteks apa yang disebut sebagai peralihan pandangan kerajaan daripada ‘punitive’ (hukuman) kepada ‘restorative justice’ (keadilan pemulihan), di mana konsep keadilan adalah untuk mengembalikan seseorang individu yang telah didapati bersalah kembali ke komuniti,” katanya pada sidang media mingguan selepas mesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini.

Berkongsi data kajian projek rintis berkaitan tahanan di rumah yang dilaksanakan sepanjang tahun lepas dengan melibatkan 5,000 banduan, Fahmi berkata ia merekodkan kadar residivisme (kembali melakukan kesalahan) telah menurun kira-kira 15 peratus. 

Susulan itu Fahmi berkata projek rintis berkenaan boleh diperluaskan kerana ketika ini terdapat 82,000 tahanan di penjara, yang didapati melebihi kapasiti sedia ada iaitu 74,000 tahanan.

Beliau berkata langkah itu akan membantu Jabatan Penjara menjimatkan kos pengurusan penjara sebanyak RM19 juta.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 pada 18 Okt lepas dilaporkan berkata kerajaan akan menggubal akta baharu bagi membolehkan hukuman tahanan di rumah sebagai alternatif untuk kesalahan tertentu.

Mengikut peruntukan akta itu, pesalah dikehendaki berada di tempat yang dianggap bersesuaian seperti kediaman, rumah jagaan atau asrama pekerja sepanjang tempoh penahanan.

Saifuddin Nasution pula dilaporkan berkata akta berkaitan hukuman tahanan di rumah itu akan dibentangkan tahun depan dan Kabinet telah memberikan kelulusan dasar untuk pelaksanaan.

Beliau berkata ia menyasarkan kira-kira 20,000 pesalah kategori tertentu, antaranya pesalah pertama yang tidak melakukan kesalahan berat, wanita mengandung, warga emas, dan orang kurang upaya (OKU), yang layak dipertimbangkan selepas mereka menjalani proses tapisan.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan