AM

PERKESO KELANTAN KENAL PASTI PENJAJA CARUM SKSPS

25/10/2024 11:01 PM

TUMPAT, 25 Okt (Bernama) -- Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Kelantan mengenal pasti jumlah sebenar penjaja bagi memastikan caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) dibuat sebelum dikuatkuasakan sepenuhnya awal tahun hadapan.

Pengarah PERKESO Kelantan Nora Yaacob berkata langkah tersebut akan menjadi fokus utama pihaknya sepanjang tahun ini memandangkan belum ada jumlah tepat yang diperoleh.

"Kita sedang berusaha membincangkan perkara ini dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan beberapa libat urus telah diadakan bagi tujuan tersebut.

"Setakat ini, seramai 10,300 orang bekerja sendiri (OBS) telah melakukan caruman SKSPS di Kelantan, namun kita tiada statistik tepat mengenai jumlah penjaja atau peniaga yang mencarum dengan skim ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutup Program Jalinan Mesra PERKESO Bersama Media Kelantan di Pulau Seri Tanjung di sini, hari ini.

Nora berkata lebih 170,000 orang OBS dicatatkan di Kelantan setakat ini, namun jumlah yang mencarum masih agak kecil termasuk peniaga dan penjaja yang berisiko menghadapi pelbagai kemalangan.

"SKSPS yang diperkenalkan sejak 2017 ini melibatkan caruman serendah RM23.30 sebulan dan menawarkan sokongan kewangan sekiranya berlaku bencana kerja.

"SKSPS yang dikuatkuasakan sejak Jun 2017 ini berupaya menjadi jaminan kewangan dan kelangsungan hidup dengan menyediakan perlindungan keselamatan sosial dalam jangka panjang," katanya.

Menurutnya, langkah itu dilaksanakan menerusi Peraturan-peraturan Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (Kadar Caruman Bagi Penjaja atau Peniaga) 2024 yang diwartakan pada 30 Ogos lalu melalui PU (A) 229 dan berkuat kuasa pada 1 Sept lepas.

Katanya ketetapan itu membolehkan individu yang mempunyai sebarang lesen atau kelulusan bagi aktiviti berkaitan menjaja atau berniaga, sama ada di tepi jalan atau pasar, yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171), Ordinan Kerajaan Tempatan 1961 (Sabah No. 11 1991) atau Ordinan Kerajaan Tempatan 1996 (Sarawak Bab 20), diwajibkan membayar caruman SKSPS PERKESO di bawah sektor penjaja.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan