KUALA LUMPUR, Nov 1 (Bernama) --Pendahulu liga Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mengukuhkan kedudukan di puncak Liga Super selepas mencatat kemenangan mudah ke atas pasukan tercorot Negeri Sembilan FC, 4-0, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam ini.
Mendominasi hampir keseluruhan permainan, skuad Harimau Selatan tidak menunggu lama untuk membuka akaun gol menerusi sepakan percuma Heberty Fernandes pada minit ke-15 sebelum beliau meledak gol peribadi kedua enam minit kemudian untuk melebarkan kedudukan.
Skuad bimbingan Hector Bidoglio itu terus menambah derita skuad Jang apabila Arif Aiman Mohd Hanapi meledak gol ketiga pasukan pada minit ke-48 selepas bijak memanfaatkan situasi kelam-kabut dalam kotak penalti tuan rumah sekali gus menewaskan penjaga gol Tauffiq Ar Rasyid Johar.
Di penghujung perlawanan, pengadil menghadiahkan penalti kepada JDT selepas bola terkena tangan Muhammad Harith Samsuri menyaksikan pemain gantian Jorge Leonardo tenang menyempurnakan sepakan untuk turut mencetak nama sebagai penjaring pada masa kecederaan babak kedua.
JDT kini mendahului liga dengan selesa apabila mengumpul 37 mata selepas 13 perlawanan dan 11 mata di depan pencabar terdekat Selangor di tempat kedua manakala Negeri Sembilan tercorot dalam kedudukan liga dengan enam mata.
Sementara itu, Terengganu FC kembali menemui sentuhan kemenangan selepas enam perlawanan apabila mengatasi Penang FC 1-0 pada pertembungan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus.
Pemain pertahanan Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili muncul wira skuad Penyu apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-27 untuk menghadiahkan tiga mata berharga buat pasukan.
Kemenangan tipis itu membolehkan Terengganu mengekalkan kedudukan di tangga keempat liga dengan mengutip 21 mata, manakala Penang di tangga ke-11 dengan 11 mata selepas 14 perlawanan.
-- BERNAMA