KUALA LUMPUR, 1 Nov (Bernama) -- Khazanah Nasional Bhd dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) hari ini mengeluarkan kenyataan berasingan mengenai kerugian sebanyak RM43.9 juta yang dialami kedua-dua syarikat itu setelah menjual pegangan dalam platform e-dagang Fashion Valet Sdn Bhd dengan harga RM3.1 juta.
Khazanah, dalam kenyataannya berkata pelupusannya dari FashionValet mewakili jalan keluar yang bertanggungjawab untuk memindahkan pemilikan kepada pihak yang boleh membantu membimbing mereka ke trajektori pertumbuhan baharu.
Dana kekayaan negara itu berkata rasionalnya untuk melabur dalam FashionValet berpaksikan pada tema e-dagang luar talian ke dalam talian dan komitmen untuk menyokong usahawan Malaysia serta syarikat peringkat awal yang berpotensi.
Pada masa itu, katanya FashionValet adalah platform e-dagang fesyen tempatan yang berpotensi, dengan lebih daripada 400 jenama dan 15,000 produk di platformnya serta menjangkakan pertumbuhan pendapatan sekitar 60 peratus setiap tahun.
Menurut Khazanah, pihaknya telah melabur RM27 juta untuk memperoleh sembilan peratus kepentingan dalam FashionValet pada tahun 2018.
“Dalam tempoh beberapa tahun, syarikat tersebut berdepan cabaran, sebahagian besarnya mengalami kesulitan akibat COVID-19, termasuk rancangan perluasan platform.
“Ini menyebabkan FashionValet, di bawah bimbingan Lembaga Pengarah dan pemegang saham, beralih fokus daripada menjadi sebuah platform e-dagang untuk jenama Asia Tenggara kepada mengembangkan jenama milik penuh, Duck dan Lilit, bagi mengekalkan margin operasi dan aliran tunai syarikat,” kata Khazanah.
Syarikat itu juga mengambil langkah untuk merasionalisasi kos dan menyelaraskan operasi, namun terus berdepan cabaran, termasuk pengumpulan dana dalam persekitaran yang sukar pada tahun 2022-2023.
Pada akhir tahun 2023, NXBT Partners, yang diterajui seorang usahawan Malaysia berpengalaman, menawarkan untuk memperoleh kepentingan pemegang saham sedia ada dan menyuntik modal ke dalam syarikat berkenaan.
Memandangkan FashionValet memerlukan dana dengan segera untuk meneruskan operasi, dan memandangkan pelaburan telah mencapai akhir tempoh pegangan yang disasarkan, Khazanah mempertimbangkan dan menerima tawaran tersebut,” kata Khazanah.
Khazanah berkata sebagai sebahagian daripada strategi Memajukan Malaysia yang berasaskan kerangka “A Nation That Creates”, kami kekal komited untuk menjana pembaharuan syarikat Malaysia pelbagai saiz untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing negara, selaras dengan program GEAR-uP yang diterajui Kementerian Kewangan.
“Kami percaya ekosistem permulaan adalah penggerak inovasi, pertumbuhan ekonomi dan penciptaan pekerjaan di Malaysia,” katanya.
Walaupun terdapat risiko pelaburan dan cabaran yang lebih tinggi terhadap syarikat peringkat awal, Khazanah akan terus berdedikasi untuk menyokong syarikat permulaan tempatan dan akan terus bersama mereka sehingga mencapai kejayaan serta pertumbuhan.
PNB berkata pelaburan itu adalah di bawah dana hak miliknya, bukan ASNB
Sementara itu, PNB, dalam kenyataan berasingan juga menjelaskan pelaburannya dalam FashionValet dibuat menggunakan dana proprietarinya (hak miliknya) dan bukan dana amanah yang berada di bawah ASNB yang dilanggan oleh orang awam.
"Kami menyesali kerugian yang ditanggung yang berjumlah RM18.7 juta setelah hasil jualan yang diterima sebanyak RM1.3 juta, tetapi ia harus dilihat berbanding dengan RM337 bilion dalam aset pelaburan yang diuruskan oleh PNB dan RM16.4 bilion dalam pendapatan pelaburan yang dijana selepas mengambil kira kerugian ini dalam tahun kewangan 2023," katanya.
PNB berkata FashionValet mewakili pelaburan modal teroka tulen yang bertujuan untuk menyokong syarikat Bumiputera berpotensi tinggi, tetapi perniagaan syarikat itu, malangnya terjejas teruk oleh COVID-19 dan berlaku perubahan dalam aliran runcit.
Ringkasnya, Dana Proprietari PNB, pada 2018, menyertai pengumpulan dana Siri C FashionValet melalui pelaburan saham keutamaan boleh tukar boleh tebus sebanyak AS$5 juta (RM20 juta) untuk kepentingan minoriti kecil.
Pelaburan ini dibuat selepas melalui penilaian terperinci pelaburan swasta PNB dan proses usaha wajar dan dilaksanakan pada nilai pasaran yang saksama mencerminkan trajektori pertumbuhan teguh FashionValet, dengan hasil meningkat kira-kira 60 peratus setiap tahun dalam tempoh tiga tahun sebelumnya.
“PNB mengiktiraf risiko selain ganjaran melabur dalam modal teroka serta ekuiti persendirian, dan oleh itu, pelaburan ini diuruskan sebagai portfolio, dengan prestasi dinilai pada keseluruhan portfolio dan bukannya pelaburan khusus.
"Untuk menguruskan risiko, had dan garis panduan yang terhad diambil bagi memastikan pelaburan tidak tertumpu dan dibiayai terutamanya oleh dana proprietari PNB, melindungi pemegang unit ASNB daripada kerugian yang berpotensi," katanya.
Khazanah dan PNB komited kepada pelaburan yang bertanggungjawab
Melangkah ke depan, Khazanah berkata ia akan terus melabur secara bertanggungjawab dan mengurus aset ke arah pulangan mampan kepada pelbagai generasi untuk negara.
Sementara itu, PNB, satu daripada syarikat pengurusan dana terbesar di negara ini berkata ia kekal komited untuk bertindak dengan bijaksana dan berhati-hati dalam keputusan pelaburannya, yang dipandu oleh proses ketekunan wajar dan kelulusan yang terhad.
"Pelaburan ini juga dibuat oleh PNB selaras dengan seruan kerajaan pada waktu itu untuk syarikat pelaburan berkaitan kerajaan menyokong pertumbuhan syarikat Bumiputera berpotensi tinggi yang beroperasi dalam ekonomi baharu," kata PNB.
Semalam, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata Khazanah dan PNB harus diberikan masa untuk menjelaskan mengenai pelupusan mereka dari FashionValet.
"Kami sedang memantau isu ini. Saya belum menerima laporan penuh tentang apa yang sebenarnya berlaku. Ini muncul daripada jawapan di Parlimen."
“Jadi, saya rasa kita perlu memberi mereka sedikit masa untuk memberi penjelasan sendiri. Ini adalah wang awam dan sudah tentu, ramai orang yang bertanya,” kata Fahmi seperti dipetik pada Khamis.
-- BERNAMA