KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Kuala Lumpur Sports City (KLSC), Bukit Jalil mencatat kutipan sewaan venue sebanyak RM10.647 juta setakat Oktober tahun ini dan ia hasil tertinggi yang pernah direkodkan fasiliti sukan negara itu.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata hasil kutipan sewaan venue bagi acara sukan merekodkan sebanyak RM2.147 juta dengan melibatkan 26 penganjuran sukan, manakala bagi acara bukan sukan seperti konsert mencatatkan hasil sewaan RM8.5 juta membabitkan 54 acara.
“Kutipan hasil penganjuran acara mengikut lokasi venue untuk acara sukan seperti Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) berkapasiti 85,000 penonton mencatatkan hasil RM1.97 juta, Axiata Arena berkapasiti 13,000 penonton (RM875,000) dan Stadium Hoki Nasional berkapasiti 15,000 hingga 20,000 penonton (RM75,000).
“Bagi acara bukan sukan SNBJ pula merekodkan hasil sewaan RM1.8 juta, Axiata Arena RM6.4 juta dan Stadium Hoki Nasional merekodkan RM210,000 kutipan. Ini bermaksud venue paling popular untuk acara bukan sukan adalah Axiata Arena,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang ingin tahu mengenai usaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi meningkatkan hasil negara melalui penganjuran konsert serta menjadikan SNBJ sebagai fasiliti pelbagai guna bertaraf dunia.
Sementara itu, Hannah berkata bagi menampung permintaan penganjuran konsert, KBS melaksanakan beberapa inisiatif untuk menambah baik perkhidmatan seperti mempelbagaikan fungsi Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.
“Sebelum ini, stadium itu hanya tertumpu pertandingan dan latihan hoki, namun kini ia salah satu venue yang dipilih untuk penganjuran konsert. Untuk tahun hadapan, stadium berkenaan menerima 26 tempahan dan ini akan dapat meningkatkan penganjuran konsert,” katanya.
Beliau berkata pihaknya bersama Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) selaku badan menguruskan KLSC atau sebelum ini dikenali Kompleks Sukan Negara, sedang menyediakan dua tapak semaian rumput seluas lapan ekar untuk digunakan sebagai rumput gantian menggunakan konsep “lay and play” di SNBJ.
Sebagai contoh, jika selepas konsert dan terdapat perlawanan bola sepak dalam masa terdekat, konsep lay and play dapat mengoptimumkan penggunaan SNBJ, selain memberi masa untuk padang pulih melalui sistem pengiliran padang.
Hannah berkata PSM juga sedang membangunkan sistem tempahan secara digital berskala besar di venue utama bagi menggantikan sistem tempahan secara manual dan kurang telus yang dijangka mula dilaksanakan pada tahun hadapan.
“Saya telah mengadakan perbincangan dengan 16 syarikat dan mereka menyatakan mahu bawa masuk banyak artis antarabangsa seperti Hong Kong, China, Hindustan, Tamil, Korea dan pelbagai lagi negara kerana kita ada pasaran di sini.
“Saya juga ingin maklumkan bahawa tempahan untuk venue Axiata Arena untuk tahun hadapan sudah penuh sehingga hujung tahun,” katanya.
-- BERNAMA