IPOH, 5 Nov (Bernama) -- Seorang wanita maut manakala anaknya cedera selepas lori yang dinaiki terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lagi lori yang membawa muatan kayu di Kilometer 350.3 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Utara dekat Bidor, petang tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarozi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.55 petang sebelum tujuh anggota bomba dan dua jentera dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Kemalangan itu melibatkan lori tiga tan jenis Mitsubishi membawa muatan kasut yang dinaiki mangsa dan telah melanggar belakang lori lima tan jenis UD Nissan membawa muatan kayu.
“Kejadian melibatkan tiga mangsa daripada satu keluarga iaitu wanita berusia 36 tahun yang disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan manakala anak lelakinya berusia lapan tahun cedera patah kaki dan pemandu lori (suami berusia 36 tahun) selamat,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Sabarozi berkata pemandu lori UD Nissan juga dilaporkan selamat.
Beliau berkata mangsa yang maut telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat sepenuhnya pada 6.10 petang.
-- BERNAMA