GEORGE TOWN, 20 Nov (Bernama) -- Pemaju hartanah Malaysia, Eastern & Oriental Berhad (E&O) melancarkan pelan induk dengan nilai pembangunan kasar (GDV) bernilai RM60 bilion bagi pembangunan bandar terbaharunya, Pulau Andaman semalam.
Di bawah pelan induk itu, Pulau Andaman berkeluasan 307.561 hektar melibatkan pembangunan campuran seperti kondominium mewah, pusat membeli-belah, bangunan pejabat, hotel dan taman komuniti.
Pengarah Urusan Kumpulan E&O Kok Tuck Cheong berkata pulau itu secara strategiknya diletakkan bagi memenuhi permintaan hartanah mewah dengan penawaran ruang kediaman premium dalam persekitaran bandar holistik yang seimbang dari segi kelestarian, aksesibiliti dan kualiti hidup.
Pulau buatan berkenaan terletak di sepanjang pesisir pantai Gurney Drive dan Tanjung Tokong dibangunkan menerusi dua fasa iaitu 102.385 hektar (253 ekar) bagi fasa satu melibatkan kerja tebus guna tanah yang siap pada Disember, 2019.
“Fasa satu menampilkan pembangunan dengan elemen hab komersial, kemudahan berorientasikan komuniti dan terusan.
“Bagi fasa dua pula, ia melibatkan kawasan berkeluasan 205.176 hektar (507 ekar) dan kerja penambakan masih berjalan sekarang,” katanya pada sidang media - “Media Junket to Andaman Island”, di sini.
Keseluruhan kerja tebus guna tanah dijangka siap pada t2028 dan pelan induk itu dianggarkan mengambil tempoh sekitar 30 tahun untuk siap sepenuhnya.
Sementara itu, Pengurus Besar Kanan Pelaburan dan Perancangan Korporat E&O Berhad Yeonzon Yeow berkata dua jambatan akan menjadi penghubung kepada pulau berkenaan iaitu Jambatan Andaman dengan Seri Tanjung Pinang sepanjang 600 meter manakala Jambatan Gurney dari Gurney Drive sepanjang 1.2 kilometer.
Dibayangkan sebagai ‘bandar 15 minit’, Yeow berkata konsep tersebut bagi memastikan penduduk mempunyai akses mudah dalam tempoh masa yang tidak begitu lama ke kawasan membeli-belah, premis makanan, pusat kesihatan dan rekreasi dengan kemudahan laluan pejalan kaki dan berbasikal.
“Ini juga bagi mempromosikan gaya hidup menekankan keseimbangan, ketersambungan dan keselesaan,” katanya.
Selain itu, Yeow berkata sambutan bagi jualan hartanah di sini amat memberangsangkan dengan pembangunan bertingkat tinggi - ‘The Meg dan Arica’ serta pembangunan hartanah Fera dan Senna Fasa Satu dan Dua telah habis dijual.
Secara keseluruhan, E&O telah melancarkan projek berkenaan dengan nilai GDV sebanyak RM1.359 bilion.
E&O dijangka memperkenalkan dua projek kondominium tepi laut dan fasa baharu projek hartanah mewah pada tahun depan.
-- BERNAMA