BAGAN DATUK, 1 Dis (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan supaya gerak kerja bagi pembinaan jambatan Bailey di laluan yang terputus hubungan membabitkan kawasan terjejas akibat banjir di seluruh negara disegerakan.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) mempunyai stok yang mencukupi untuk pembinaan jambatan Bailey di kawasan terjejas.
“Saya akan meminta kerjasama Kor Jurutera ATM (Angkatan Tentera Malaysia) dan juga pihak JKR negeri serta daerah untuk membuat tindakan segera (gerak kerja jambatan Bailey) kerana terdapat keperluan (kepada) penduduk-penduduk untuk menghantar bantuan dan juga untuk proses menyelamat.
“Jambatan kekal akan dibina bagi menggantikan jambatan Bailey itu dan NADMA mempunyai peruntukan yang mencukupi bersama-sama JKR dan juga ICU (Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri) untuk membina semula jambatan-jambatan itu terutama jambatan kampung di kawasan jalan perhubungan desa,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merasmikan Program One Stop Centre (OSC) Sejahtera Sosial Negeri Perak Daerah Bagan Datuk yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.
Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata beliau mengarahkan supaya gerak kerja bagi pembinaan jambatan Bailey dilaksanakan dalam tempoh 48 jam di kawasan yang terjejas akibat banjir.
“Hal ini pernah saya lakukan apabila hubungan antara Segamat (Johor) dan Rompin (Pahang) terputus, jambatan Bailey itu dibina dalam tempoh 72 jam dan kita mempunyai simulasi sebelum ini untuk pembinaannya dengan kerjasama Kor Jurutera dan juga pihak JKR.
“Setakat ini maklumat yang saya dapati kira-kira tujuh lokasi (lokasi dikenal pasti untuk jambatan Bailey di seluruh negara) dan Insya-Allah aset untuk (pembinaan jambatan) Bailey itu mencukupi,” katanya.
Selain itu, beliau berkata Jabatan Meteorologi Malaysia telah memberikan data seminggu lebih awal sebelum luruan dan taburan hujan itu bertambah sebagai persediaan negara menghadapi bencana banjir antaranya supaya tindakan memindahkan mangsa ke pusat pemindahan sementara (PPS) dapat dilakukan lebih awal.
“Saya nasihatkan kepada seluruh mangsa banjir supaya bersabar di kawasan PPS masing-masing dan sebagaimana saya nyatakan bahawa terdapat PPS yang telah berdaftar.
“Oleh kerana pertambahan mangsa banjir mendadak, saya telah mengarahkan jawatankuasa pengurusan bencana negeri dan daerah untuk membuka PPS baharu walaupun PPS itu tidak didaftarkan bagi menampung keperluan pemindahan itu,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid ketika berucap merasmikan program hari ini berkata Bagan Datuk merupakan daerah kesembilan untuk Program OSC itu dilancarkan.
“Tentunya rakyat Bagan Datuk yang amat dahagakan perkhidmatan daripada pelbagai jabatan dan agensi sangat berterima kasih kepada Menteri Besar (Saarani) kerana keprihatinan beliau terhadap daerah ini.
“Bagi saya program ini sangat baik kerana ia bukan sekadar menyantuni rakyat di akar umbi, tetapi pada waktu sama akan dapat menyelesaikan masalah asas peribadi dan keluarga kepada rakyat di Perak ini terutamanya yang terdiri daripada kumpulan Ketua Isi Rumah yang berada dalam kategori miskin tegar,” katanya.
-- BERNAMA