KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Pahang dan Terengganu dilanda gelombang kedua banjir dengan sejumlah pusat pemindahan sementara (PPS) kembali dibuka manakala jumlah mangsa di Perak sedikit berkurang sementara di Negeri Sembilan dan Johor meningkat pagi ini.
Di PAHANG, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Maran memaklumkan empat PPS dibuka di daerah itu awal pagi tadi dengan menempatkan 52 mangsa daripada 12 keluarga melibatkan penduduk Kampung Ulu Luit, Kampung Luit, Kampung Bukit Kuin dan Kampung Paya Chedong.
"JPBD Maran menerima makluman kejadian (dinaiki air) pada 10.15 malam dan semua agensi berkaitan diaktifkan. Penduduk terjejas sedang dalam proses pemindahan ke PPS.
“Pihak polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah ke lokasi terjejas bagi memantau dan memastikan situasi sebenar serta menghantar bantuan keperluan asas bencana kepada keluarga terjejas,” katanya dalam kenyataan.
Di TERENGGANU, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan hujan lebat berterusan sejak petang semalam menyebabkan 739 mangsa daripada 189 keluarga di daerah Kemaman dipindahkan ke lapan PPS yang dibuka bermula 10 malam tadi.
PPS terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baru, Kerteh; Balai Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Beris Nenas; Balai Raya Kampung Gelugor, SK Pengkalan Ranggon, SK Kemasik; Dewan Sivik Pengkalan Cicar Bukit Kuang; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Banggol dan Balai Raya JPKK Meraga Beris.
Sehubungan itu, jawatankuasa itu menasihatkan orang ramai terutama penduduk di kawasan berisiko supaya bersiap sedia dan peka dengan arahan pihak berkuasa memandangkan hujan lebat masih berterusan di beberapa tempat di negeri itu.
Di PERAK, Sekretariat JBPN dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa banjir pagi ini berkurangan kepada 106 orang daripada 35 keluarga di tiga PPS daerah Kinta dan Perak Tengah berbanding 112 orang malam tadi.
Kenyataan itu memaklumkan 72 mangsa daripada 24 keluarga masih berlindung di dua PPS Dewan Serbaguna Tanjung Tualang dan SK St Paul di daerah Kinta manakala PPS Dewan Orang Ramai Kampung Teluk Kepayang, Bota di Perak Tengah masih menempatkan 34 mangsa daripada 11 keluarga.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan berlaku ribut dan hujan di kesemua 12 daerah di Perak pada sebelah petang dan malam.
Di NEGERI SEMBILAN, laman sesawang Info Bencana JKM melaporkan jumlah mangsa banjir di negeri itu meningkat kepada 239 orang daripada 65 keluarga yang ditempatkan di tiga PPS di Tampin berbanding 129 orang malam tadi.
Di JOHOR, Tangkak kembali dilanda banjir menjadikan mangsa yang terjejas sebanyak 166 orang daripada 43 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 101 orang malam tadi.
Pengerusi JPBN Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata sebuah PPS dibuka di SK Simpang Lima Darat malam tadi dengan menempatkan 65 orang daripada 15 keluarga.
Beliau memaklumkan keseluruhan empat PPS aktif di dua daerah terjejas setakat ini dengan 101 mangsa daripada 28 keluarga berlindung di tiga PPS di Segamat.
Beliau turut memaklumkan terdapat tiga sungai yang dilaporkan melepasi paras bahaya iaitu stesen Sungai Muar di Jeti Kampung Tekam, Segamat; Sungai Tangkak di Kampung Seri Ma'amor, Tangkak dan Sungai Paya Dato di Mersing.
Azmi berkata keadaan cuaca di daerah Johor Bahru, Pontian, Kluang dan Kota Tinggi cerah, sementara Muar, Mersing, Batu Pahat, Tangkak serta Kulai mendung manakala Segamat dijangka hujan pagi ini.
Sementara itu, jumlah mangsa banjir di Melaka kekal 11 orang daripada empat keluarga di daerah Jasin pada 8 pagi yang ditempatkan di PPS SK Seri Mendapat, menurut Seketariat JPBN.
-- BERNAMA