EKONOMI

GAMUDA PERLUAS PERNIAGAAN AWAN DAN AI MENERUSI PELABURAN DALAM CLOUD SPACE, USAHA SAMA DENGAN DNEX

10/12/2024 08:26 PM


From Norsyafawati Ab Wahab

KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Gamuda Bhd dan Dagang NeXchange Bhd (DNeX) menerusi anak syarikat milik penuh mereka, Gamuda Technologies Sdn Bhd dan DNeX Solutions Sdn Bhd menjalin usaha sama untuk menyediakan perkhidmatan Google Distributed Cloud Services (GDC Services) yang terasing daripada rangkaian luar.

GDC Services adalah penyelesaian awan yang menawarkan pelanggan akses kepada keperluan pengawalseliaan tertinggi terhadap teknologi kecerdasan buatan (AI) dan awan terkemuka Google Cloud dalam persekitaran yang selamat, terasing sepenuhnya, dan di premis.

Usaha sama 50:50 ini akan berperanan sebagai penyedia tunggal bagi GDC Services, menyasarkan pasaran bernilai lebih RM11 bilion, dengan khalayak utama termasuk entiti kerajaan -- sama ada persekutuan atau negeri -- serta organisasi swasta seperti institusi kewangan dan syarikat yang peka terhadap keselamatan.

Ketua Pegawai Digital kumpulan Gamuda John Lim Ji Xiong berkata kerjasama itu melebihi teknologi memandangkan kumpulan membawa kemampuan yang komprehensif dalam penyampaian projek, kejuruteraan nilai dan pengalaman dalam transformasi organisasi.

"Kerjasama dengan DNeX menandakan satu perikatan strategik penting, menggabungkan kepakaran teknologi yang pelbagai untuk meningkatkan dan membolehkan penerimagunaan AI dan awan dalam landskap digital negara.

"Dengan memanfaatkan kepakaran tinggi kami dalam AI dan awan serta kerjasama yang teguh dengan Google Cloud, kami berada dalam kedudukan tersendiri untuk mempercepat transformasi dalam sektor-sektor yang dikawal selia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif DNeX Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir Jamalullail menekankan potensi usaha sama ini untuk mempertingkat transformasi digital yang ketara dalam sektor awam.

"Penyelesaian unik ini akan membuka potensi AI dan analitis maju untuk menyediakan perkhidmatan kerajaan digital yang bersepadu dan berteraskan rakyat, menambah baik rawatan untuk penyakit kronik, dan mengoptimumkan pengeluaran tenaga di loji tenaga hidro atau solar,” katanya.

Dalam kenyataan berasingan kepada Bursa hari ini, Gamuda mengumumkan rancangan untuk mengambil alih 20 peratus kepentingan dalam Cloud Space Sdn Bhd sehingga RM18 juta menerusi anak syarikatnya Gamuda Technologies.

Pengambilalihan ini membolehkan Gamuda untuk meneroka potensi pasaran bernilai RM36 bilion dengan perkhidmatan teknologi canggihnya yang memfokuskan kepada keupayaan awan dan AI.

Lim berkata Cloud Space adalah syarikat pemula niaga Malaysia yang menawarkan Google Cloud, Google Workspace, Chrome Enterprise, dan Google for Education.

"Pelaburan kami dalam rakan kongsi utama Google Cloud yang telah memenangi anugerah ini, akan mengukuhkan lagi perkongsian dengan DNeX untuk menyediakan inovasi digital dan membangunkan infrastruktur digital yang bersedia untuk masa depan," katanya.

"Pendekatan bernilai tambah ini akan memberi manfaat kepada projek sedia ada dan akan datang, yang memberikan perkhidmatan kepada pelanggan sektor swasta dan awam,” katanya.

Cloud Space turut menyediakan perkhidmatan perisian sebagai perkhidmatan (SaaS), AI, dan penyelesaian berkaitan keselamatan siber.

Ia memiliki antara pangkalan pelanggan yang berkembang pesat di pasaran.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan