AM

PROJEK RESIDENSI HEKTAR GOMBAK, KERJA DIJANGKA BERMULA 15 FEB DEPAN

11/12/2024 05:00 PM

KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) -- Kerja-kerja pembinaan untuk projek Residensi Hektar Gombak dijangka bermula pada 15 Feb tahun depan, dengan projek dijangka akan siap dalam tempoh 15 bulan.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu berkata kementerian melalui Jawatankuasa Task Force Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST), telah memperakukan lantikan kontraktor baharu iaitu Pembinaan Angkasa Permai Sdn. Bhd. pada 25 Okt lepas untuk mengambil alih dan menyelamatkan projek yang terbengkalai itu.

Beliau berkata bagi memperkukuh usaha memastikan projek disiapkan mengikut jadual baharu yang ditetapkan, KPKT telah mengambil tiga tindakan penting terhadap pemaju untuk memastikan mereka dapat memberikan penumpuan sepenuhnya bagi menyiapkan projek ini.

"Ini termasuk menyenarai hitam pemaju serta ahli lembaga pengarah sejak dikategorikan sakit pada 18 Mac 2023, menyekat pemaju daripada memohon Permit Iklan Dan Jualan (APDL) yang baharu selagi projek sakit sedia ada belum disiapkan dengan CCC, dan membekukan Akaun Pemajuan Perumahan (HDA) sejak 1 Nov 2023 untuk mengelakkan pengeluaran wang secara tidak bertanggungjawab oleh pemaju dan secara tidak langsung dapat melindungi hak pembeli," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi kamar khas berkenaan status perkembangan terkini penyelesaian isu projek Residensi Hektar Gombak yang dibangkitkan Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju).

Selain itu, Aiman Athirah berkata Kementerian Kewangan (MOF) pada 9 Ogos 2024 telah meluluskan projek ini diberi jaminan sehingga 70 peratus daripada nilai keseluruhan pinjaman dengan had maksimum RM100 juta, untuk memastikan penyiapan projek di bawah Skim Jaminan Khas Madani Housing Project Revival Guarantee Scheme (MHPRGS).

"... MHPRGS ini bukanlah sejenis bantuan pinjaman yang menggunakan dana kerajaan dan diberikan terus kepada pihak pemaju, tetapi ia adalah jaminan yang diberikan oleh kerajaan ke atas pinjaman yang dibuat oleh pemaju untuk menyiapkan projek," katanya.

Aiman Athirah berkata pihak pemaju perlu mendapatkan sendiri pinjaman daripada mana-mana institusi kewangan dan perlu mematuhi segala syarat yang ditetapkan oleh institusi kewangan itu.

Beliau berkata pemaju kekal bertanggungjawab untuk menyiapkan pemajuan sehingga menerima Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) dan membuat serahan milikan kosong kepada pembeli seperti yang diperuntukkan dalam Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118).

Sementara itu, Aiman Athirah berkata KPKT juga telah mengeluarkan surat pengesahan projek bermasalah kepada persatuan pembeli projek perumahan itu pada 6 April 2023, 24 Nov 2023, dan 30 Sept 2024 bagi membantu pihak pembeli mendapatkan pengurangan kadar bayaran dan penstrukturan semula pinjaman dengan institusi kewangan.

"Bagaimanapun, pengurangan kadar bayaran bulanan dan penstrukturan semula pinjaman tertakluk kepada kelulusan institusi kewangan yang berkaitan.

"Dalam hubungan ini, kementerian juga telah mendapat maklum balas positif daripada Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA), yang memaklumkan bahawa permohonan daripada pembeli dalam kalangan penjawat awam yang menggunakan skim pembiayaan mereka, telah diluluskan untuk penstrukturan semula pinjaman," katanya.

Aiman Athirah berkata pembeli Residensi Hektar Gombak juga diberi insentif dalam bentuk pengurangan harga rumah iaitu jualan 2,400 unit rumah berharga tidak melebihi RM300,000 dan dianggarkan setiap pembeli mendapat pengurangan harga lebih kurang RM70,000 seunit daripada harga pasaran.

Beliau berkata pembeli bagi projek Residensi Hektar Gombak boleh membuat tuntutan ganti rugi daripada wang akaun HDA, namun perkara itu hanya boleh dibuat selepas projek berkenaan siap dan menerima CCC.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan